Sasar dua pertiga banduan jalani pemulihan dalam komuniti

Iklan
Jabatan Penjara menyasarkan dua pertiga banduan layak menjalani pemulihan komuniti menjelang 2030 bagi mengatasi masalah kesesakan banduan di penjara. Gambar hiasan.

KAJANG - [DIKEMAS KINI] Jabatan Penjara menyasarkan dua pertiga banduan layak menjalani pemulihan dalam komuniti menjelang 2030 bagi mengatasi masalah kesesakan banduan di penjara.

Ketua Pengarah Penjara, Datuk Nordin Muhamad berkata, inisiatif yang bermula pada 2008 itu terdiri daripada sistem parol, Perintah Kehadiran Wajib (PKW), Program Reintegrasi Penghuni (PRP), Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) untuk memulihkan penghuni dengan lebih efisien dan efektif.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan statistik Jabatan Penjara Malaysia, terdapat seramai 82,539 penghuni penjara.

"Daripada jumlah itu, 76,336 penghuni dalam institusi penjara, manakala 6,203 lagi penghuni ditempatkan dalam program Pemulihan Dalam Komuniti," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis pelancaran Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2022 (Akta A1660) di Ibu Pejabat Penjara Malaysia di sini pada Selasa.

Iklan

Nordin berkata, berdasarkan jumlah penghuni itu, 17,025 penghuni adalah banduan warga Malaysia yang sedang menjalani hukuman tiga tahun ke bawah bagi kesalahan dadah, jenayah kesalahan syariah serta lain-lain.

"Kapasiti penjara di seluruh negara, ia hanya boleh menempatkan hanya kira-kira 66,000 penghuni sahaja. Jadi, terdapat 16 peratus kadar kesesakan direkodkan iaitu kira-kira 10,000 penghuni berdasarkan jumlah penghuni ketika ini," katanya.

Iklan

Beliau berkata, program pemulihan dalam komuniti terbukti berkesan dalam mengurangkan kadar penjenayah berulang dengan anggaran 400 penghuni dibebaskan, hanya seorang yang akan kembali ke penjara iaitu 94.6 peratus.

"Kita menyasarkan untuk mencapai 10,000 pesalah yang menjalani pemulihan dalam komuniti pada tahun ini dan kita sudah mencapai 79.5 peratus. Kita yakin jumlah itu dapat dicapai sebelum November tahun ini,” katanya.

Mengulas mengenai kekangan jumlah pusat PKW di seluruh negara, pihaknya meminta kerajaan untuk mempertimbangkan pertambahan jumlah pusat secara berperingkat.

"Pada ketika ini, kita mempunyai 52 pusat PKW dan menyasarkan sebanyak 20 lagi pusat dapat ditambah menjadikan jumlahnya kepada 72 pusat di seluruh negara.

"Kita berharap jumlah pusat ini dapat ditingkatkan ke 157 daerah di seluruh negara bagi memastikan kelancaran perlaksanaan PKW,” katanya.