Lebuhraya DASH bakal dibuka dalam masa terdekat

Iklan
Keadaan di sekitar lebuh raya bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) sebelum dibuka kepada orang ramai dalam masa terdekat. - Foto Bernama

PETALING JAYA - Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) sejauh 20.1 kilometer (km) dari Puncak Perdana ke Penchala menuju ke ibu kota akan dibuka kepada orang ramai dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas), Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, lebuh raya yang menelan belanja RM4.2 billion itu dijangka mampu mengurangkan masa perjalanan dari Puncak Perdana, Shah Alam ke Penchala, Kuala Lumpur daripada 90 minit ke 30 minit.

Iklan
Iklan

Katanya, lebuh raya dengan panjang keseluruhan 55.4 km termasuk susur simpang itu, mempunyai 13 persimpangan iaitu Puncak Perdana, Alam Suria, Denai Alam, Kampung Melayu Subang, Pinggiran Subang, Subang 2, Lapangan Terbang Subang, RRIM (Kwasa Damansara), Surian, Seksyen 5 Kota Damansara, Sunway Damansara, Damansara Perdana dan Penchala.

"Sasaran trafik harian adalah 50,000 kenderaan sehari dan ia dijangka mengurangkan kesesakan di Persiaran Mokhtar Dahari (39 peratus), Jalan Sungai Buloh (33 peratus) dan Persiaran Surian (43 peratus).

Iklan

"Lebuh raya ini dijangka mampu menjadi penyelesaian penyuraian trafik di kawasan pembangunan baharu seperti Kwasa Damansara, Elmina dan sepanjang Shah Alam ke Damansara," katanya pada sesi taklimat dan lawatan media pada Selasa.

Mohammad Azlan berkata, DASH yang dibina 90 peratus bertingkat dan 10 peratus atas tanah mempunyai kesalinghubungan dengan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Penchala Link, Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT).

Iklan

Menurutnya ia juga mempunyai tiga plaza tol iaitu Denai Alam, RRIM (Kwasa Damansara) dan Kota Damansara, dua kawasan rehat dan dua hentian sebelah selain penghadang bunyi kepungan penuh yang pertama dibina dalam lebuh raya Malaysia sepanjang 260 meter.

"Uniknya, DASH juga mempunyai rangkaian laluan dikenali sebagai Spaghetti Link yang terbentuk apabila tanjakan dibina secara bertingkat melibatkan lebuh raya sedia ada iaitu LDP, Penchala Link, SPRINT dengan persimpangan Penchala," katanya.

Lebuh raya itu mula dibina sejak Ogos 2016 dan siap pada 30 Sept lepas, manakala konsesi bermula 25 Dis ini hingga 24 Disember 2069.

Ia turut dilengkapi 37 kamera litar tertutup (CCTV), 18 telefon kecemasan, 30 sistem pengesanan kenderaan dan kemalangan (VIDS) dan 10 papan tanda mesej pelbagai (VMS) di sepanjang jajaran serta 2,441 lampu jalan diod pemancar cahaya (LED). - Bernama