SEREMBAN - [DIKEMASKINI] Tiga calon PRK DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan, Dr Streram dan R Malar berpuas hati dengan proses pengundian awal yang dijalankan hari ini.
Ketiga-tiga calon itu ditemui ketika membuat lawatan di Balai Polis Rantau pagi ini.
Calon PH, Streram mengakui berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Persiapan dilakukan SPR juga mengikut segala peraturan yang ditetapkan,"katanya.
Perkara sama turut diakui calon BN, Mohamad dan beliau berharap agar proses pengundian awal berjalan dengan baik seperti mana yang telah dirangka oleh SPR.
"Nampakmya persiapan yang dilakukan amat rapi dan amat selesa untuk pengundian awal.
"Saya ucap terima kasih banyak kepada SPR kerana segala persiapan dilakukan amat baik sekali,"katanya.
Bagi calon Bebas, Malar, pengurusan SPR yang baik dapat dilihat pada hari penamaan calon dan dijangka berterusan sehingga hari mengundi 13 April ini.
"Saya puas hati. Lagipun saya dapati cara SPR kendalikan sewaktu ambil borang pencalonan lagi baik,"katanya.
Mengikut data dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), terdapat 110 orang daripada jumlah keseluruhan 118 orang pengundi awal akan mengundi hari ini.
Mereka terdiri daripada 74 orang anggota tentera serta pasangan yang akan mengundi di Pangkalan Udara Sendayan dan 36 orang anggota polis akan mengundi di Balai Polis Rantau.
Baki seramai lapan orang pengundi lagi terdiri daripada tentera akan mengundi secara pos.
Kedua-dua pusat pengundian awal akan ditutup pada jam 12 tengah hari ini.
Semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap balai polis dan pengiraannya akan dibuat pada hari pengundian pada 13 April di pusat pengiraan undi berkelompok di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan.
PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon PH Dr S Streram, calon BN Datuk Seri Mohamad Hasan serta dua calon Bebas iaitu suri rumah R Malar dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.