Penganjur waspada sebarang kemungkinan ketika LTdL

Iklan
Saingan LTdL Peringkat 1 dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur bermula pada Selasa. - Foto FB LTdL

PIHAK penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022, Human Voyage mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya perlumbaan lapan peringkat itu berkemungkinan besar terpaksa mengharungi situasi banjir.

Ketua Pegawai Operasi (COO) Human Voyage, Shahaizereen Abd Hamid berkata, pihaknya telah membuat percaturan terbaik bagi mengelak permasalahan itu sebelum LTdL membuka tirai pada Selasa.

Iklan
Iklan

"Kalau dilihat pada laluan setiap peringkat perlumbaan, boleh dilihat yang ini juga langkah untuk kita mengelakkannya (banjir). Disebabkan itu kebanyakan laluan adalah di sebelah pantai barat.

"Kami juga mempunyai pasukan pemantau untuk melihat laluan. Sekiranya ada berlaku sesuatu pada laluan seperti tanah runtuh ataupun pokok tumbang, kami akan segera menyelesaikan masalah itu dan jika perlu menukar laluan, kami akan membincangkan perkara itu dan membuat keputusan terbaik,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, susulan pembubaran Parlimen semalam, Shahaizereen berkata situasi itu tidak menjejaskan kerancakan perlumbaan edisi ke-26 itu.

"Sememangnya tak menjejaskan dan perlumbaan akan diteruskan seperti biasa. Tiada perubahan dari segi perlumbaan, teknikal dan sebagainya...semua akan berlangsung seperti biasa,” katanya.

Iklan

LTdL 2022 sejauh 1,096.9 kilometer (km) itu dengan Peringkat 1 dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur bermula Selasa, diikuti Peringkat 2 (Kuala Klawang-Raub), Peringkat 3 (Putrajaya-Genting Highlands), Peringkat 4 (Sabak Bernam-Meru Raya), Peringkat 5 (Kuala Kangsar-Kulim), Peringkat 6 (Georgetown-Alor Setar), Peringkat 7 (Kuah-Gunung Raya) dan berakhir dengan Peringkat 8 (Kuah-Loop Langkawi).

Bagi edisi kali ini, perlumbaan itu disertai enam pasukan berstatus Jelajah Dunia iaitu UAE Team Emirates (Emiriah Arab Bersatu-UAE), Cofidis (Perancis), Lotto Soudal (Belgium), EF Education EasyPost (Amerika Syarikat-AS), Movistar (Sepanyol) dan Astana-Qazaqstan (Kazakhstan). - Bernama