KOTA KINABALU - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan keretakan hubungan UMNO dengan Pas membuka laluan kepada Perikatan Nasional (PN) menjadi lebih kukuh.
Muhyiddin berkata, ia adalah berita baik untuk PN dan dalam masa yang sama membuka peluang untuk memperoleh lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Pas telah berulang kali sebutkan mereka kekal sebagai rakan yang paling penting dalam PN.
"Jadi ia sangat jelas sekarang bahawa ketidakpastian tentang hubungan mereka dengan UMNO, tetapi yang saya fikir ia membuka laluan kepada PN untuk lebih kuat dan lebih efektif untuk memperoleh lebih banyak kerusi pada pilihan raya ini. Bagi saya itu berita baik," katanya kepada pemberita ketika ditanya berhubung UMNO yang memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Pas.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri pertemuan dengan Bersatu Sabah di Ibu Pejabat Bersatu di Alam Mesra pada Selasa.
Bercakap mengenai calon daripada Bersatu, beliau meminta supaya nama bakal calon dikemukakan kepadanya untuk dibuat keputusan.
"Pada umumnya, saya berpuas hati Sabah sudah bersiap sedia untuk menghadapi PRU walaupun peringkat negeri sudah selesai jadi kerusi yang ditandingi adalah kerusi di peringkat Parlimen yang akan diputuskan dalam tempoh segera.
"Tetapi calon kita ini akan bertanding atas nama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan memakai logo GRS tetapi kemenangan mereka itu Bersatu dan sebahagian besarnya kepada PN. Itu secara persefahaman yang telah dicapai tidak ada masalah," katanya.