PELUMBA Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa melaungkan amaran awal apabila memenangi perlumbaan Peringkat 1 Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 yang berakhir di Menara Berkembar Petronas (KLCC) pada Selasa.
Pada perlumbaan sejauh 157.3 kilometer (km) yang bermula dari Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu, Syritsa mencatatkan masa 3 jam 43.43 saat (s), sekali gus menyambar gelaran sulungnya di pentas LTdL.
Tempat kedua Peringkat 1 itu dimenangi pelumba Uno-X Pro Cycling, Erlend Blikra, manakala pelumba Movistar Team, Max Kanter menduduki tempat ketiga apabila mereka turut merakamkan masa 3:43.43s.
"Saya berasa amat gembira apabila dapat memenangi perlumbaan hari ini. Sudah tentu saya cukup teruja apabila dapat memenangi perlumbaan buat kali pertama di sini (LTdL).
"Kemenangan ini menambahkan lagi semangat saya bagi menghadapi perlumbaan esok. Saya harap dapat mengekalkan Jersi Kuning ini sebagai pendahulu pada perlumbaan esok,” kata Syritsa sejurus tamat perlumbaan.
Mengulas perlumbaan Peringkat 1 itu, Syritsa berkata, dia berusaha mengekalkan momentum kayuhan sejak awal untuk berada dalam kelompok di hadapan.
"Saya juga harus berterima kasih kepada rakan-rakan sepasukan yang banyak membantu pada perlumbaan hari ini sehingga membolehkan saya meraih kemenangan,” jelasnya yang turut menyarung Jersi Hijau selaku Raja Pecut.
Sementara itu, pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Jambaijamts Sainbayar menyambar Jersi Putih (pelumba terbaik Asia) dan Jersi Merah (Raja Bukit) selepas berakhirnya Peringkat 1.
Pelumba kelahiran Mongolia itu menampilkan kayuhan bertenaga apabila mengumpul 15 mata, manakala rakan sepasukannya yang juga pelumba tempatan, Muhammad Nur Aiman Zariff turut cemerlang apabila berada di tangga kedua dengan 11 mata di zon pendakian.
Peringkat 2 pada Rabu dijadualkan berlangsung dari Kuala Klawang ke Raub yang membabitkan laluan sejauh 178.9km dan menyediakan dua zon pendakian di Petaseh (kilometer 8.2) dan Bukit Damar (kilometer 122.8).
Selain dua zon pendakian, Peringkat 2 itu turut mempunyai tiga zon pecutan iaitu di Simpang Durian (kilometer 42.7), Karak (kilometer 96.8) dan Mempaga (kilometer 144.1).
Keputusan Peringkat 1 Petronas LTdL 2022
10 Pelumba Terbaik:
1. Gleb Syritsa (Rusia) Astana Qazaqstan Team 3 jam 43 minit 33 saat
2. Erlend Blikra (Norway) Uno-X Pro Cycling Team 3:43.37saat (s)
3. Jambaljamts Sainbayar (Mongolia) Terengganu Polygon Cycling Team 3:43.37s
4. Peerapol Chawchiangkwang (Thailand) Thailand Continental Cycling Team 3:43.37s
5. Max Kanter (Jerman) Movistar Team 3:43.39s
6. Lionel Taminiaux (Belanda) Alpecin-Deceuninck 3:43.43s
7. Marijin Van Den Berg (Belanda) EF Education - Easypost 3:43.43s
8. Reinardt Janse Van Rensburg (Rusia) Lotto Soudal 3:43.43s
9. Ryan Gibbons (Rusia) UAE Team Emirates 3:43.43s
10. Manuel Penalver Aniorte (Sepanyol) Burgos-BH 3:43.43s
Pendahulu keseluruhan (Jersi Kuning)
1. Gleb Syritsa (Astana Qazaqstan Team) 3:43.33s
2. Erlend Blikra (Uno-X Pro Cycling Team) 3:43.37s
3. Jambaijamts Sainbayar (Terengganu Polygon Cycling Team) 3:43.37s
Pelumba Terbaik Asia (Jersi Putih)
1. Jambaijamts Sainbayar (Terengganu Polygon Cycling Team) 3:43.37s
2. Peerapol Chawchiangkwang (Thailand Continental Cycling Team) 3:43.37s
3. Sarawut Sirironnachai (Thailand Continental Cycling Team) 3:43.43s
Raja Pecut (Jersi Hijau)
1. Gleb Syritsa (Astana Qazaqstan Team) 15 mata
2. Erlend Blikra (Uno-X Pro Cycling Team) 12 mata
3. Max Kanter (Movistar Team) 9 mata
Raja Bukit (Jersi Merah)
1. Jambaijamts Sainbayar (Terengganu Polygon Cycling Team) 15 mata
2. Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff (Terengganu Polygon Cycling Team) 11 mata
3. Peerapol Chawchiangkwang (Thailand Continental Cycling Team) 7 mata
Pasukan pendahulu keseluruhan
1. Movistar Team - 11:11.09s
2. Uno-X Pro Cycling Team - 11:11.09s
3. Alpecin-Deceuninck - 11:11.09s