KEHADIRAN gajah liar di daerah Kluang antaranya di beberapa buah kampung di Jalan Mersing- Kluang dan Taman Sri Impian cukup meresahkan penduduk.
Bukan sahaja mengancam keselamatan tetapi haiwan ini turut merosakkan tanaman yang diusahakan penduduk.
Menerusi Apa Khabar Rakyat minggu ini, ikuti laporan wartawan Sinar Harian, Nor Azura Md Amin menyelami luahan penduduk dan penternak yang berdepan ancaman gajah.
Lebih 200 penduduk sekitar Kampung Sri Timur dan Kampung Ilham di sini bimbang angkara gajah liar memasuki kawasan penempatan dan merosakkan hasil tanaman seperti buah-buahan dan kelapa sawit.
Kebimbangan penduduk itu semakin memuncak apabila kehadiran seekor gajah liar di laluan ke Kampung Sri Timur pada Jun lalu, berjaya dirakam dan tular di media sosial.
Penduduk Kampung Sri Timur, Sri Dewi Abu, 49 berkata, kehadiran gajah kebiasaannya berlaku ketika musim buah pada pertengahan tahun.
"Dahulu gajah hanya berlegar di kawasan kebun atau hutan berdekatan.
"Tetapi sekarang, gajah semakin berani merosakkan tanaman diusahakan penduduk seperti pisang dengan mencabut umbutnya.
"Walaupun kehadirannya tidak melibatkan jumlah yang banyak, iaitu cuma seekor dua, namun ia tetap menakutkan penduduk. Selain itu haiwan ini juga sudah berani mendekati rumah penduduk,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Dalam pada itu, penduduk Kampung Ilham, Yusof Sayuti, 79, memberitahu, kehadiran gajah di sekitar kawasan rumahnya pada pertengahan tahun menyebabkan pagar rumah dan tanaman rosak.
"Dahulu tepi rumah tanam pokok pisang dan pandan. Sekarang tidak boleh. Kalau ada pokok buah habis dirosakkan gajah. Begitu juga dengan pagar rumah saya, juga pernah dirosakkan.
"Kebiasaannya gajah datang pada waktu malam. Walaupun sedar yang datang itu gajah, tetapi tidak boleh berbuat apa-apa, yang penting jangan kacau, takut kejadian lebih teruk akan berlaku sekiranya gajah dikacau," katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Sri Lambak, Jaafar Kartubi memberitahu, selain Kampung Sri Timur dan Kampung Ilham, terdapat dua lagi kampung di dalam rangkaian Kampung Sri Lambak Mukim Kluang iaitu Kampung Haji Jaafar dan Kampung Sri Cahaya Baru.
"Gajah liar biasanya merosakkan tanaman penduduk yang ditanam di sekitar kawasan rumah mereka. Malah ada juga pagar rumah penduduk yang dirosakkan.
"Aduan berkenaan masalah ini sudah dipanjangkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta pejabat daerah. Penduduk juga kini lebih berhati-hati dengan tidak mengganggu gajah dengan membaling objek jika terserempak dengan haiwan itu,” katanya.
Sementara itu, penternak lembu di Batu 14 Jalan Mersing di sini, Aqim Marzuki, 33, berkata, selain merosakkan struktur pagar ladang, kumpulan gajah berkenaan turut memusnahkan tanaman pelbagai jenis rumput seperti napier dan guinea dianggarkan seluas 80 hektar.
Katanya, akibat pencerobohan kumpulan gajah liar berkenaan sejak lima tahun lalu, kerugian yang dialami dianggarkan mencecah RM200,000.
"Sejak awal tahun, pencerobohan gajah semakin kerap berlaku sehingga boleh dikatakan hampir setiap bulan, gajah akan muncul dan rosakkan ladang.
"Sebelum ini memang sudah ada pencerobohan gajah, tetapi dahulu kira-kira empat kali setahun. Namun kini isu pencerobohan gajah di kawasan ladang agak serius,” katanya.
Jelasnya, masalah berkenaan telah diadukan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan untuk tindakan.
"Lebih mengejutkan, kehadiran gajah liar bukan sahaja pada waktu malam, malah turut berlaku pada waktu siang kemungkinan disebabkan untuk mencari makanan.
"Apabila kawasan pagar sekeliling termasuk pagar elektrik dirosakkan gajah, sudah tentu saya risau ternakan seperti lembu dan kambing di sini akan terjejas.
"Pencerobohan gajah liar ini turut menyebabkan pekerja ladang bimbang dengan keselamatan mereka,” katanya.
Pasang lebih banyak lampu jalan elak kemalangan
Sementara itu, keadaan jalan yang gelap terutama di Jalan Mersing-Kluang dan Kota Tinggi- Kluang dibimbangi mengundang kemalangan terutama melibatkan gajah liar.
Rata-rata pengguna jalan raya yang ditemui, berharap lebih banyak lampu jalan di pasang selain papan tanda pemberitahuan gajah melintas.
Mohd Firdaus Mohd Noh, 36, yang kerap menggunakan laluan Jalan Mersing-Kluang berkata, pemasangan lampu jalan membolehkan pengguna jalan raya lebih berhati-hati kerana gajah kerap muncul pada waktu malam dan awal pagi.
"Saya biasa guna laluan Jalan Mersing-Kluang untuk ke tempat kerja di Penjara Kluang. Laluan berdekatan Kahang kebiasaannya menjadi lokasi kumpulan gajah melintas.
"Justeru, pemasangan lebih banyak lampu jalan dan papan tanda pemberitahuan gajah melintas dapat membantu lebih ramai pengguna jalan raya untuk lebih berwaspada ketika melalui Jalan Mersing- Kluang,” katanya.
Bagi Mohd Nor Izhar Abdul Hamid, 37, pihak berkuasa sepatutnya bertindak memasang lampu jalan di kawasan berkenaan kerana gajah dilaporkan kerap keluar pada waktu malam.
"Sudah kerap kali berlaku kemalangan terutama melibatkan penunggang motosikal mengelak gajah. Jalan yang dikelilingi kawasan hutan perlu diterangi dengan lampu jalan.
"Pada awal Ogos lalu, seorang pelajar cedera parah selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar seekor gajah melintas Jalan Kota Tinggi-Kluang,” katanya.