PRU15: Armada Sabah kemuka beberapa calon muda

Iklan
Fairuz
KOTA KINABALU - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Sabah dijangka akan mengemukakan beberapa calon muda untuk diketengahkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketuanya, Datuk Fairuz Renddan berkata, nama-nama yang diketengahkan itu antara yang berpotensi sebagai calon bagi menghadapi PRU kali ini.

"Sebenarnya kita ada ketengahkan tiga atau empat orang calon muda. Jadi kita hantar mereka yang berpotensi.

"Bagaimanapun, kita akur dengan keputusan badan pimpinan tertinggi untuk menentukannya," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ditanya mengenai persediaan Armada untuk menghadapi PRU, beliau memaklumkan persediaan itu sudah ada sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dua tahun lalu.

"Sabah ini unik sebab kita masih pada 'mood' pilihan raya yang lalu, semua jentera telah pun bersiap sedia," katanya.

Bagaimanpun, ditanya mengenai peratusan pengundi keluar mengundi jika berlaku banjir, Fairuz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan menjangkakan ia akan menurun.

"Kita lihat keadaan dan banjir bagaimana, kalau teruk memang saya rasa peratusan akan turun," ujar beliau.