Isu surat menteri PN hanya untuk alih perhatian rakyat

Iklan
Saifuddin Abdullah

KUANTAN - Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengaitkan pembubaran Parlimen dengan surat dipersembahkan 12 menteri Perikatan Nasional (PN) kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hanya untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada masalah yang dihadapi.

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, rakyat tahu alasan sebenar Ismail Sabri mahu mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat tidak lain berpunca daripada tekanan dan desakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, surat dikemukakan menteri PN itu hanya bagi menyuarakan kebimbangan rakyat agar PRU15 tidak dilaksanakan dalam musim tengkujuh yang berkemungkinan berlaku banjir.

"Rakyat ketika ini mahu kerajaan memberi sepenuh tumpuan kepada langkah-langkah pemulihan ekonomi, mengawal kenaikan harga barang dan menyediakan peluang pekerjaan bukannya mengadakan pilihan raya.

Iklan

"PN sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat, terutamanya dalam tempoh yang mencabar ini," katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook pada Rabu.

Saifuddin berkata, demi kepentingan rakyat juga, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan Skuad Prihatin Nasional pada Majlis Pelancaran Jentera PN Pahang baru-baru ini khusus untuk berdepan bencana banjir.

Iklan

Ismail Sabri dalam kenyataannya pada Selasa menyifatkan tindakan 12 menteri yang mengutuskan surat kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menjejaskan keharmonian dalam kabinet.

Menurutnya, tindakan itu jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri yang diperkenan pelantikannya oleh Seri Paduka Baginda sekali gus mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan.

Beliau menjelaskan, pembubaran Parlimen terpaksa dilakukan bagi menghalang daripada tercetusnya ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan.