JOHOR BAHRU - Mangsa banjir dari Kampung Paya Kenangan yang kini berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mutiara di sini tetap mahu keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walaupun dalam keadaan banjir.
Lokman Sayed, 55, berkata, mereka mahu menunaikan tanggungjawab keluar mengundi dan berharap mana-mana pihak dapat menyediakan bot untuk membawa mereka ke pusat mengundi.
"Walaupun kami risau dan berdebar-debar dengan ramalan berlaku banjir pada bulan depan, namun semangat untuk keluar mengundi tidak pernah padam," katanya kepada pemberita ketika ditemui di PPS tersebut pada Rabu
Bapa kepada tiga anak itu yang juga pesara berkata, banjir tidak akan menghalang penduduk kampung berkenaan untuk keluar mengundi.
Dalam pada itu, Sulaiman Abdul Rahman, 40, berharap, ada pihak yang akan membawa mereka ke pusat mengundi paling dekat dengan rumah atau menjemput mereka dari PPS sekiranya sudah dipindahkan ketika itu.
"Bawa mangsa banjir ke tempat mengundi. Biasanya ada dua sekolah yang jadi pusat membuang undi di kawasan Tebrau akan dinaiki air setiap kali banjir," kata bapa kepada tiga anak itu yang bekerja sebagai buruh.
Noraini Mohd Nasir, 55, pula berkata, kerajaan wajar memberikan enjin bot kepada mereka kerana ada penduduk di kampung berkenaan memiliki sampan tetapi hanya menggunakan pendayung.
"Kami ada sampan tetapi tidak ada enjin bot, jadi sukar untuk bergerak kalau arus deras. Kami akan keluar mengundi selepas semua urusan di rumah termasuk memindahkan barang-barang berharga selesai," ujarnya.
Anggota APM melakukan pemantauan di kawasan banjir di Kampung Paya Dalam, Johor Bahru pada malam Selasa