SEREMBAN - Dua pusat pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau iaitu Pangkalan Udara (PU) Sendayan dan Balai Polis Rantau di sini, ditutup tepat pada 12 tengah hari ini.
Seramai 110 pengundi awal daripada kalangan anggota tentera dan pasangan serta anggota polis layak mengundi hari ini.
Iklan
Iklan
Proses pengundian awal yang berlangsung selama empat jam bermula 8 pagi tadi turut disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding pada PRK berkenaan, selain kalangan pemerhati pilihan raya terdiri daripada wakil organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan yang dilantik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Peti-peti undi bagi pengundian awal itu akan disimpan di lokap balai polis dan pengiraannya akan dibuat pada hari mengundi Sabtu ini di pusat penjumlahan undi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan.
Turut meninjau perjalanan proses pengundian awal ialah Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun, calon Pakatan Harapan Dr S. Streram, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan dan calon Bebas suri rumah R. Malarvizhi. - Bernama