SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seluruh pimpinan dan ahli Pas diingatkan agar menjaga adab termasuk tidak menimbulkan kebencian dan fitnah terhadap lawan politik.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ini termasuk dalam segala hantaran mahupun artikel di media sosial.
Menurutnya, tindakan yang menimbulkan kebencian dan fitnah merupakan kesalahan tatatertib yang boleh diambil tindakan sewajarnya.
"Sebagai sebuah parti politik yang berteraskan Islam, seluruh pimpinan dan ahli serta penyokong Pas juga dikehendaki terus menjaga adab dan kesopanan seperti mana yang diajar oleh agama Islam.
"Perlu diingat bahawa Perlembagaan Pas menetapkan semua ahli-ahli Pas antara lainnya perlu sepanjang masa mengamalkan akhlak Islam serta sentiasa mengawal diri supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang menyalahi atau merugikan kepentingan Parti," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada masa sama,Takiyuddin berkata, seluruh jentera pilihan raya Pas diminta bersiap sedia sepenuhnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang akan diadakan dalam tempoh terdekat.
Dalam pada itu, ujar beliau, Pas berpandangan bahawa konsep dominasi politik oleh golongan majoriti dalam sesebuah negara bukanlah sesuatu yang berbentuk rasis dan tidak adil sebaliknya ia adalah suatu lumrah penerimaan umum di mana-mana negara di dunia.
"Pas juga yakin usaha menjayakan gagasan perpaduan ummah turut akan lebih mudah dicapai apabila semua parti-parti utama Melayu-Islam dan bumiputera dalam negara ini dapat berlapang dada serta berjiwa besar dalam menghadapi PRU15.
"Ini dengan melihat kepentingan yang lebih besar iaitu kestabilan negara dan kebahagiaan rakyat jelata," katanya.