Saya 'party man', perlu ikut ketetapan parti: Hamzah

Iklan
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika sidang media khas berkaitan Op Banjir di Bukit Aman pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Saya ini 'party man' demikian reaksi Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkaitan tindakan 12 anggota Jemaah Menteri daripada Perikatan Nasional (PN) menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menyatakan pendirian mereka tidak bersetuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.

Hamzah berkata, secara prinsipnya, dirinya perlu mengikuti ketetapan yang dibuat oleh parti dan bukannya mengikut kehendak sendiri.

Iklan
Iklan

"Surat yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong itu merupakan ketetapan parti yang tidak mahu adakan Pilihan Raya Umum (PRU).

"Perdana Menteri pun sebelum ini katakan yang beliau adalah 'party man', saya hormati cara dia, begitu juga saya, dengar kehendak parti, kalau parti kata tidak sesuai, saya ikut sama tidak sesuai," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Taklimat Op Banjir bertempat di Bukit Aman di sini pada Rabu.

Katanya, bagaimanapun tugas dan rakyat tetap diutamakan.

Iklan

"Kami semua para jemaah barisan kabinet tidak ada sebarang masalah dan kali terakhir bertemu pada mesyuarat kabinet Jumaat lalu.

"Kami semua masih lagi kawan, apa yang perlu dibincangkan, kita bincangkan bersama, semua sudah matang dan faham dengan kedudukan sedia ada, jadi tak wujud sebarang masalah," katanya.

Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan tindakan 12 menteri yang mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini menjejaskan keharmonian dalam kabinet.

Ismail Sabri berkata, tindakan menteri-menteri berkenaan jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri yang diperkenan pelantikannya oleh Seri Paduka Baginda, sekali gus mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan.

Oleh itu beliau menjelaskan, pembubaran Parlimen dilakukan bagi menghalang daripada tercetusnya ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan.

Sebelum ini media melaporkan, 12 menteri daripada Perikatan Nasional (PN) telah menghantar surat kepada Seri Paduka Baginda untuk menyatakan pendirian mereka tidak bersetuju sekiranya pilihan raya umum diadakan tahun ini.