KOTA BHARU - Tindakan kerajaan Kelantan mengekalkan keputusan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bukan kerana takut hilang kuasa, tegas Ketua Pemuda Pas Kelantan, Mohamad Kamal Mohamad.
Beliau berkata, tindakan itu lebih kepada pertimbangan demi kepentingan dan kemaslahatan rakyat.
"Soal bubar DUN, bukan ketakutan hilang kuasa sebagaimana segelojoh sesetengah pihak yang mengecewakan Yang di-Pertuan Agong.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tuntutan Pemuda UMNO Kelantan yang mencabar kerajaan negeri supaya membubarkan DUN bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilangsungkan secara serentak jika Pas tidak goyah.
Menurut beliau, Pemuda UMNO tidak seharusnya gopoh membuat cabaran kepada Pas Kelantan agar DUN dibubarkan serentak pembubaran Parlimen.
Ujarnya, apa lagi jika mempersoalkan dapatan kajian yang dikemukakan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan berkaitan 90 peratus pengundi muda menolak BN.
Beliau berkata, Pemuda UMNO seharusnya lebih terbuka untuk sama ada menerima dapatan kajian yang dinyatakan atau jika ada boleh sahaja untuk 'cross check' atau dapatan lain yang memuaskan hati.
Sinar Harian sebelum itu melaporkan Pemuda UMNO Kelantan mencabar kerajaan negeri supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan PRU15 dilangsungkan secara serentak jika Pas tidak goyah.
Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, parti itu tidak perlu takut untuk mengadakan pilihan raya serentak sekiranya yakin sokongan rakyat terhadap mereka kukuh.