BERBAKI satu perlawanan sebelum Liga Super 2022 menutup tirai, dua pasukan memasang impian besar untuk layak ke saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) musim depan.
Negeri Sembilan FC (NSFC) tekad mempamerkan aksi terbaik untuk menempah slot ke pentas Asia biarpun peluang yang sama turut dimiliki Terengganu FC (TFC) dan Sabah FC.
Perebutan mengisi slot ke saingan berprestij itu kian sengit berikutan ketiga-tiga pasukan berkenaan mencatat kemenangan dalam perlawanan Liga Super pada Selasa.
Ketua jurulatih NSFC, K Devan menegaskan skuad bimbingannya tiada jalan lain untuk mengisi slot berkenaan kecuali memastikan kemenangan dicapai pada aksi terakhir liga menentang Sri Pahang FC, di gelanggang lawan, Sabtu ini.
Katanya, meskipun bersaing ke Piala AFC itu tidak diletakkan dalam sasaran awal, namun dengan kedudukan pasukan di tangga keempat liga dan peluang yang terbuka bagi mengisi slot itu, seharusnya ia tidak boleh disia-siakan.
"Tiada cara lain kecuali NSFC perlu menang ke atas Sri Pahang pada aksi terakhir Liga Super di tempat lawan Sabtu ini, sambil kita menanti keputusan perlawanan membabitkan Sabah FC dan TFC.
"Hakikatnya, NSFC masih berpeluang untuk mengisi slot ke saingan Piala AFC musim depan dan kita akan berusaha sebaik mungkin untuk layak.
"Janji kita adalah untuk mempamerkan prestasi dan persembahan yang baik bagi mendapatkan kemenangan ketika menentang Pahang nanti,” katanya pada sidang media selepas perlawanan Liga Super menentang Melaka United FC, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Selasa.
Pada aksi itu, NSFC menewaskan Melaka United 2-0 hasil jaringan Nasrullah Hanif Johan pada minit ke-34 dan Gustavo Dos Santos pada minit ke-86.
Dalam pada itu, misi ke Asia fokus utama pengendali TFC, Nafuzi Zain berbanding memikirkan soal lain termasuk tentang masa depannya atau kempen Piala Malaysia selepas ini.
Beliau mahu melunaskan baki satu lagi aksi dengan memastikan tiga mata penuh mampu dilakar sekali gus cuba mengintai kedudukan selaku naib juara Liga Super yang menawarkan tiket ke Piala AFC musim depan.
Berdasarkan kedudukan semasa, Sabah FC, NSFC dan TFC berpeluang muncul naib juara di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT).
Sabah FC hanya berkelebihan satu mata untuk mengumpul 42 mata, manakala NSFC dan TFC pula dengan 41 mata.
Beliau berkata, apa yang penting adalah mencapai sasaran musim ini untuk layak ke saingan Piala AFC.
Katanya, sekarang ini pasukan dan para pemain adalah lebih penting.
"Saya tidak kisah pun diletakkan mana-mana dalam Piala Malaysia, yang paling penting sasaran adalah layak ke Piala AFC.
"Bagi saya kalau kita layak ke Piala AFC ia adalah pencapaian dan kejayaan untuk TFC. Fokus ini dahulu daripada memikirkan perkara yang tidak diketahui lagi.
"Saya tidak bergantung kepada pasukan lain untuk tewas. Yang penting pasukan kita menang, itu paling penting,” katanya pada sidang media sejurus tamat aksi dengan Kuala Lumpur City FC
(KL City) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Selasa.
Dalam aksi itu, skuad Penyu meraih kemenangan tipis 2-1 hasil jaringan Manuel Ott dan Kipre Tchetche pada babak pertama, sebelum KL City merapatkan kedudukan hasil tandukan Romel Morales di pertengahan separuh masa kedua.