PTPTN mahu pastikan tiada pelajar tercicir ke IPTA

Iklan
Pengerusi PTPTN, Dr Apli Yusoff (kanan) bersama Pengurus Besar Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Terenggan, Azizah Nasik (kiri) menyampaikan surat tawaran Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) kepada pelajar di Kuala Nerus, Terengganu pada 2 Oktober lalu.

Peruntukan WPP berjumlah RM42.4 juta untuk bantu 28,278 pelajar

Pengerusi PTPTN, Dr Apli Yusoff (kanan) bersama Pengurus Besar Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Terenggan, Azizah Nasik (kiri) menyampaikan surat tawaran Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) kepada pelajar di Kuala Nerus, Terengganu pada 2 Oktober lalu.
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus bertekad membantu para pelajar yang akan memasuki Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dengan menyediakan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP).

PTPTN dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menyediakan WPP dengan peruntukan berjumlah RM42.4 juta kepada seramai 28,278 pelajar yang telah berjaya melanjutkan pengajian ke IPTA bagi kemasukan sesi Oktober 2022.

Menurut kenyataan itu, WPP berjumlah RM1,500 bagi seorang pelajar diberikan kepada pelajar-pelajar warganegara Malaysia yang telah membuat persetujuan menerima WPP, melalui saluran yang ditetapkan oleh PTPTN dan ibu bapa atau penjaga pelajar merupakan penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) serta memenuhi kriteria yang ditetapkan.

"Semenjak WPP ini diperkenalkan pada tahun 1999 hingga 31 Ogos 2022, seramai 954,465 pelajar telah menerima manfaat ini dengan peruntukan berjumlah RM1.41 bilion.

"Tempoh sah laku WPP ini adalah selama dua bulan, bermula 5 Oktober 2022 hingga 5 Disember 2022. Pelajar-pelajar boleh menunaikan WPP ini di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad mulai 5 Oktober 2022 dengan membawa surat tawaran WPP dan juga MyKad pelajar namun wakil adalah tidak dibenarkan.

"Pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP mulai 5 Oktober 2022 lalu melalui portal rasmi PTPTN,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, pada 2 Oktober lalu, Pengerusi PTPTN, Dr. Apli Yusoff turut menyantuni pelajar yang ditawarkan WPP melalui sesi ziarah ke rumah pelajar di kawasan Kuala Nerus, Terengganu.

Semasa sesi ziarah, beliau telah menyampaikan surat tawaran WPP kepada pelajar yang layak.

Menurut Dr. Apli, inisiatif pemberian WPP PTPTN itu adalah untuk membantu menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan awal pelajar baharu memasuki IPTA.

"Di Terengganu, seramai 1,825 pelajar ditawarkan WPP dengan peruntukan berjumlah RM2.7 juta. Manakala, bagi kawasan Kuala Nerus pula, seramai

239 pelajar telah ditawarkan WPP melibatkan peruntukan berjumlah RM358,500.

"PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi atau KPT sentiasa berusaha membantu ibu bapa dan pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian dalam usaha memastikan tiada pelajar yang tercicir ke IPTA,” katanya.

PTPTN membantu pelajar membuat persediaan awal ke IPTA menerusi WPP berjumlah RM1,500.


Dalam masa sama, beliau turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pelajar kerana berjaya melangkah ke menara gading.

Kata Dr. Apli, WPP PTPTN yang diterima oleh para pelajar itu harus digunakan dengan sebaik mungkin.

"Tunjukkanlah rasa syukur dan terima kasih dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga menjadi modal insan unggul kepada negara,” ujarnya lagi.

Untuk makluman, para pelajar yang telah membuat permohonan pinjaman PTPTN bagi tempoh 1 September 2022 hingga 30 September 2022 boleh membuat semakan kelulusan pinjaman mulai 11 Oktober 2022.

Manakala, pelajar yang belum mengemukakan permohonan, boleh membuat permohonan tersebut secara dalam talian melalui portal rasmi PTPTN sehingga 31 Oktober 2022 bagi kelompok kedua untuk memastikan pinjaman dapat diproses dan diluluskan sewajarnya.

Para pelajar boleh merujuk kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar IPT masing-masing atau terus menghubungi PTPTN sekiranya terdapat sebarang pertanyaan.

Maklumat lanjut berkenaan WPP dan pinjaman PTPTN boleh diperolehi melalui portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my. Pelajar juga boleh mendapatkan maklumat pinjaman dengan cepat, mudah dan selamat melalui aplikasi mudah alih myPTPTN.