Melaka, Sarawak mungkin terlepas aksi Liga M

Iklan
Sheikh Mohd Nasir. - Foto Agensi

KHABAR duka buat penyokong Sarawak United dan Melaka United apabila kelab kesayangan mereka mungkin terlepas untuk memeriahkan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Ia susulan kegagalan kedua-dua kelab untuk mendapatkan lesen kebangsaan selepas tidak memenuhi kriteria ditetapkan First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Iklan
Iklan

Perkara itu disahkan Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif dengan Sarawak United muncul pasukan bermasalah apabila gagal memenuhi lapan keperluan untuk mendapatkan kelulusan.

Menurut beliau, Melaka United pula didapati gagal melunaskan tunggakan gaji dua bulan pada Jun dan Ogos.

Iklan

Bagaimanapun katanya, pasukan terbabit diberi peluang untuk merayu bermula Rabu sehingga 19 Oktober dan perlu menghantar rayuan sebelum atau pada jam 5 petang yang berbaki tujuh hari lagi.

"Satu badan bebas akan menilai rayuan dan mereka perlu menghantarnya pada 19 Oktober ini. Antara alasan Melaka United gagal ialah kerana tidak dapat menyerahkan bukti pembayaran gaji untuk Jun dan Ogos 2022,” katanya ketika sidang akhbar di Petaling Jaya pada Rabu.

Iklan

Sheikh Mohd Nasir berkata, bagi Sarawak kegagalan pertama ialah tidak memenuhi kriteria infrastruktur apabila gagal mendapatkan kelulusan pihak stadium untuk musim 2023.

"Keempat gagal menyerahkan dokumen perancangan kewangan untuk musim depan, kelima gagal menyelesaikan atau persetujuan bersama tunggakan KWSP dan Perkeso (Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial) untuk Jun dan Ogos 2022.

"Keenam gagal memenuhi kriteria kewangan, ketujuh gagal menyediakan struktur kewangan tahun depan dan kelapan gagal menyelesaikan tunggakan gaji dua pemain importnya yang sudah dibawa ke pengetahuan FISA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) iaitu Sandro da Silva dan Taylor Reagen,” katanya.

Beliau berkata, 10 pasukan Liga Super lain berjaya melepasi dan diberikan lesen kebangsaan membabitkan Johor Darul Ta'zim (JDT), Sri Pahang, Terengganu FC, Penang FC, Selangor FC, Negeri Sembilan FC, Sabah FC, Petaling Jaya City FC, Kuala Lumpur City FC dan Kedah Darul Aman FC.

Enam lagi pasukan Liga Premier turut diberi lesen iaitu Kelantan FC, UiTM FC, Perak FC, Kelantan United, Kuching City FC dan PDRM FC.