Peluang pemain Perak FC beraksi di Jerman

Iklan
Kerjasama strategik dalam pembangunan bola sepak antara Perak FC dan Wolfsburg dari kiri Bobie Farid, Azim dan Kruse di Ipoh pada Rabu. Foto Agensi.

REZEKI buat pemain dan jurulatih Perak FC apabila berpeluang untuk menimba ilmu dan pengalaman beraksi di Jerman melalui kerjasama antara pasukan itu dengan kelab Bundesliga, Wolfsburg.

Khabar gembira itu disuarakan Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Azim Zabidi pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kerjasama antara kedua-dua kelab itu di Ipoh pada Rabu.

Iklan
Iklan

"Ini adalah pertukaran teknologi (transfer of technologies) yang merupakan salah satu daripada tiga tunjang utama kerjasama ini,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sementara Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin dan Naib Presiden Senior Wolfsburg, Andreas Kruse.

Iklan

Azim menambah dua lagi tunjang kerjasama itu adalah perdagangan atau perniagaan dan pembangunan pemain muda.

Beliau berkata, dari aspek perdagangan Perak FC akan menjual cenderahati kelab tersebut dan beliau turut melihat kepada potensi untuk Wolfsburg menjual barangan pasukan itu.

Iklan

Katanya, Perak FC juga akan bekerjasama dengan Wolfsburg daripada aspek pembangunan belia menerusi pertukaran maklum balas dan pandangan daripada mereka.

"Kita merancang satu program pembangunan belia dan akan dapatkan pandangan Wolfsburg sama ada ia merupakan perancangan yang mantap atau sebaliknya.

"Ia bagi membolehkan kita dapat meneruskan apa yang kita rancang dengan lebih baik berbanding dengan akademi-akademi lain,” katanya.

Dalam pada itu, Kruse tidak menolak kemungkinan pihaknya akan membawa pemain Perak ke kelab itu untuk program pertukaran.

"Apa yang penting ketika ini adalah pihaknya mahu meneroka dan membina kerjasama kukuh antara kedua-dua pasukan untuk masa depan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, Wolfsburg melihat Malaysia sebagai salah satu destinasi bagi memperluaskan lagi pengaruh bola sepak dan menganggap Perak FC sebagai rakan kerjasama yang mempunyai matlamat sama dengan kelab itu.

"Kami datang ke sini bukan hanya untuk tandatangani MoU tetapi untuk satu masa depan yang lebih baik.

"Perak FC satu kelab yang bercita-cita tinggi seperti Wolfsburg dan kami nampak potensi untuk bekerjasama dengan lebih lanjut pada masa depan,” katanya.

Menurut Kruse, kelab itu giat mengembangkan lagi rakan bisnesnya di luar negara termasuk di rantau Asia Tenggara dan memilih Malaysia sebagai destinasi terbaik.

Beliau juga mengakui mempunyai satu perasaan yang baik dengan kerjasama yang dimeterai itu.