Jersi Merah milik Nur Aiman

Iklan
Nur Aiman (depan) melakukan pecutan untuk mengumpul mata Raja Bukit pada Zon Pendakian semasa perlumbaan Peringkat Kedua Petronas LTdL 2022 sejauh 178.9 kilometer dari Kuala Klawang Negeri Sembilan ke Raub Pahang, pada Rabu. FOTO: BERNAMA

[DIKEMASKINI] PELUMBA Polygon Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff kini pemilik baharu Jersi Merah selaku Raja Bukit selepas tamat Peringkat 2 Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 di Raub, Pahang pada Rabu.

Selepas terlepas menyarung jersi itu pada perlumbaan Peringkat 1 yang berakhir di Menara Berkembar Petronas (KLCC) pada Rabu, Nur Aiman berjaya menebus kegagalannya itu dengan merampas Jersi Merah daripada rakan sepasukannya, Jambaijamts Sainbayar.

Iklan
Iklan

"Syukur alhamdulillah memang pada perlumbaan hari ini (Rabu), Aiman target nak menang jersi King of Mountain (Jersi Merah). Sejak semalam (Selasa) lagi, Aiman target nak jersi ini, tetapi tak dapat disebabkan beberapa kesilapan dan ia jadi milik Sainbayar.

"Aiman gembira strategi yang dirancang pada perlumbaan kali ini menjadi. Insya-ALLAH Aiman akan cuba kekalkan Jersi Merah sehingga habis perlumbaan LTdL kali ini,” katanya ketika ditemui pemberita sejurus tamat perlumbaan.

Iklan

Nur Aiman nyata unggul apabila menawan dua zon pendakian (Petaseh dan Bukit Damar) pada perlumbaan sejauh 178.8 kilometer yang bermula dari Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan itu, sekali gus membolehkannya menyambar enam mata maksimum.

Hasil pungutan enam mata tersebut, Nur Aiman kini berkongsi 17 mata dengan Sainbayar yang hanya dapat mempertahankan Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia selepas berakhirnya perlumbaan yang membabitkan laluan terpanjang pada edisi ke-26 kali ini.

Syritsa (tengah) mengekalkan Jersi Kuning dan Jersi Hijau manakala Jersi Merah dimenangi Nur Aiman (kiri) dan Jersi Putih disandang Jambaljamts Sainbayar (kanan) selepas Peringkat Kedua Petronas LTdL 2022 pada Rabu. FOTO: BERNAMA

Iklan

"Untuk persiapan esok, Aiman cuba dengan strategi sama... buat breakaway awal. Aiman cuba dapatkan mata awal bagi menjarakkan mata untuk memastikan kedudukan Aiman lebih selesa,” ujar Aiman yang memenangi pingat emas acara lebuh raya pada Sukan SEA Hanoi 2021 pada Mei lalu.

Pada perlumbaan Peringkat 2 itu, pelumba UAE Team Emirates, Juan Sebastian Molano Benavides muncul juara selepas merakamkan catatan 4 jam 09 minit dan 20 saat (s) bagi meninggalkan dua pencabar terdekatnya - Craig Wiggins (Ara Pro Racing Sunshine Coast) dan Gleb Syritsa (Astana Qazaqstan Team).

Bagaimanapun, Syritsa yang menjuarai Peringkat 1 dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan ke Menara Berkembar Petronas (KLCC) sejauh 157.3km pada Selasa, kekal menyarung Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan apabila mengumpul masa keseluruhan 07:52.49s.

Kem skuad kebangsaan Malaysia pula tetap pulang ceria apabila Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil muncul pelumba terbaik Asia Peringkat 2 apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-11 dengan catatan masa 4:09.20s.

Peringkat 3 pada Khamis bakal menyajikan cabaran lebih getir buat semua pelumba apabila bayangan awal 'sang juara' LTdL 2022 bakal menjelma dengan perlumbaan sejauh 123.7km dari Putrajaya ke puncak Genting Highlands.

Para pelumba perlu menempuh dua pendakian Kategori 3 di Tekali dan Look Out Point, Ampang sebelum pendakian Kategori 1 di Goh Tong Jaya dan memasuki Awana, mereka perlu memerah keringat menuju ke puncak pusat peranginan tanah tinggi itu untuk menuju ke garisan penamat yang terletak pada ketinggian 1,640m dari aras laut.

KEPUTUSAN PERINGKAT 2 LTdL 2022

10 PELUMBA TERBAIK

1. Juan Sebastian Molano (Colombia) UAE Emirates Team

2. Craig Wiggins (Australia) ARA Pro Racing Sunshine Coast

3. Gleb Syritsa (Rusia) Astana Qazaqstan Team

4. Jakub Mareczko (Itali) Alpecin Deceunick

5. Erlend Blikra (Norway) Uno-X Pro Cycling Team

6. Reinardt Janse Van Rensburg (Afrika Selatan) Lotto Soudal

7. Eduard Michael Grosu (Romania) Drone Hopper-Androni Giocattoli

8 Max Kanter (Jerman) Movistar Team

9. Manuel Penalver Aniorte (Sepanyol) Burgos-BH

10. Marijn Van Den Berg (Belanda) EF Education-Easypost

* Juan Sebastian Molano dilucutkan status sebagai juara Peringkat 2 kerana kesalahan melakukan pecutan tidak teratur. Pemenang Peringkat 2 ialah Craig Wiggins dari Australia (ARA Sunshine Coast).

PENDAHULU KESELURUHAN (JERSI KUNING)

1. Gleb Syritsa (Astana Qazaqstan Team) 07:52.49s

2. Erlend Blikra (Uno-X Pro Cycling Team) 07:52.57s

3. Jambaijamts Sainbayar (Terengganu Polygon Cycling Team) 07:52.57s

PELUMBA TERBAIK ASIA (JERSI PUTIH)

1. Jambaijamts Sainbayar (Terengganu Polygon Cycling Team) 07:52:57s

2. Peerapol Chawchiangkwang (Thailand Continental Cycling Team) 07:52.57s

3. Sarawut Sirironnachai (Thailand Continental Cycling Team) 07:53.03s

RAJA PECUT (JERSI HIJAU)

1. Gleb Syritsa (Astana Qazaqstan Team) 24 mata

2. Erlend Blikra (Uno-X Pro Cycling Team) 18 mata

3. Juan Sebastian Molano Benavides (UAE Team Emirates) - 15 mata

RAJA BUKIT (JERSI MERAH)

1. Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff (Terengganu Polygon Cycling Team) - 17 mata

2. Jambaijamts Sainbayar (Terengganu Polygon Cycling Team) - 17 mata

3. Peerapol Chawchiangkwang (Thailand Continental Cycling Team) 7 mata

PASUKAN PENDAHULU KESELURUHAN

1. Uno-X Pro Cycling Team - 23:39.09s

3. Movistar Team - 23:39.09s

4. UAE Team Emirates - 23:39.09s

PASUKAN TERBAIK ASIA

1. Thailand Continental Cycling Team - 23:39.09s

2. Terengganu Polygon Cycling Team - 23:40.26s

3. Team Ukyo - 23:52.24s