Cubaan melombong emas secara haram gagal

Iklan
Antara jengkaut yang disita kerana berada dalam Hutan Simpan Kekal Tersang tanpa permit bagi aktiviti perlombongan emas.- FOTO: JPNP (Gambar kecil: Mohd Hizamri Mohd Yasin_

KUANTAN – Cubaan enam lelaki untuk mengaut keuntungan lumayan hasil kegiatan melombong emas di dua kawasan Hutan Simpan Kekal Tersang dan Sega, Raub tidak kesampaian apabila mereka ditahan Unit Penguatkuasa (UPK) Pahang Barat yang melakukan serbuan kelmarin.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, selain meneroka hutan simpan itu secara haram mereka juga menebang pokok dan membuat jalan tanpa permit.

Iklan
Iklan

"Kita menahan enam lelaki tiga warga tempatan dan tiga warga asing berusia 25 hingga 55 tahun. Mereka yang ditahan itu mendakwa pihaknya sudah membuat permohonan permit namun ia masih belum diluluskan.

"Jadi bila belum diluluskan kita andaikan aktiviti ini dilakukan tanpa kebenaran. Kita tegaskan selagi surat kebenaran atau permit tidak dikeluarkan pihak jabatan bermakna mereka tidak boleh berada dalam hutan simpan ini bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Operasi yang melibatkan 11 anggota UPK itu turut merampas peralatan dan tujuh jentera yang digunakan untuk membuat jalan dan membersih kawasan hutan simpan tersebut.

Dr Mohd Hizamri berkata, tiga warga asing berasal dari China dan Thailand yang merupakan pemandu jentera itu dipercayai berada dalam hutan simpan itu sejak beberapa minggu lalu.

Iklan

Jelasnya, mereka bergerak secara berkumpulan dalam usaha melakukan aktiviti perlombongan dan ianya telah dikesan orang awam yang bertindak melaporkan perkara itu kepada pihak UPK di daerah ini.

"Aduan dan sokongan diberikan oleh orang ramai melancarkan lagi usaha jabatan menyekat perlombongan haram dalam hutan simpan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, semua warga asing yang ditahan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya agensi terbabit.

"Kita tidak akan berkompromi dengan pihak yang melakukan apa juga kesalahan dalam hutan simpan kekal, tindakan tegas sedia menanti pihak yang bersikap degil dan tidak mematuhi peraturan," katanya.