BANGI - Dokumen Dekad Platinum Pertahanan Awam (DPPA) 2022-2032 yang dilancarkan pada Rabu mampu memacu hala tuju Angkatan Pertahanan Awam (APM) dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini termasuk aspek pengurusan bencana dan kesiapsiagaan nasional yang menjadi agenda utama diberi perhatian oleh kerajaan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.
"DPPA yang diperkenalkan ini bertujuan memperkukuhkan lagi perkhidmatan APM serta dapat melahirkan Keluarga Malaysia yang teguh bersama, berdaya tahan serta mampu mengadaptasi konsep masyarakat yang mampu membantu diri sendiri dalam kehidupan seharian.
"(Ini) terutama ketika berhadapan sebarang insiden kecemasan, krisis, bencana dan peperangan," katanya pada Majlis Sambutan Dekad Platinum APM di sini pada Rabu.
Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.
Ismail Sabri juga berkata, komitmen pelbagai pihak dalam menjalin hubungan kerjasama strategik yang inklusif dalam pengurusan bencana dan kesiapsiagaan nasional adalah sangat penting.
"Hal ini selaras dengan keterangkuman kerangka dekad platinum yang telah digariskan dan dilihat mampu mengukuhkan lagi daya tahan komuniti Keluarga Malaysia," katanya.
DPPA 2022-2032 dicetuskan bertepatan dengan kemampuan APM sebagai agensi pengurusan bencana dan kecemasan dalam memelihara keselamatan serta kesejahteraan komuniti selain memfokus kepada pemerkasaan pengurusan bencana yang efektif khusus dalam melindungi kebajikan mangsa bencana, nyawa dan harta benda.
Sasaran DPPA memiliki pelan jelas dengan program yang berkesan dan boleh dicapai. - Bernama.