SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan menggunakan logo Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Parlimen DAP Malaysia, Nga Kor Ming menerusi ciapan di akaun Twitternya pada Khamis.
"Bersatu kita kukuh, harapan untuk Malaysia," ciap beliau.
Menerusi ciapan itu, bekas Ahli Parlimen Teluk Intan itu turut memuat naik poster PH menyokong kempen satu jari tolak rasuah yang digerakkan Pasukan Rasuah Busters demi Malaysia yang lebih baik.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan, PH mengesahkan akan mengadakan kerjasama politik dengan Muda dalam menghadapi PRU15.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketetapan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH yang dipengerusikannya di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Menurut beliau, permohonan Muda untuk memasuki gabungan PH secara rasmi mungkin tidak sempat diperoses, kerana ia memerlukan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), manakala tarikh PRU15 dijangka tidak lama lagi.
"Seperti mana diumumkan, ia akan diteruskan dan ada jawatankuasa sedang berunding untuk meletakkan beberapa perkara bagi persefahaman bersama, dan begitu juga berbincang seterusnya, kalau dipersetujui, tentang kerusi dan logo... dan kita tiada halangan,” katanya.