SEREMBAN - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta mana-mana pihak membuat laporan sekiranya menganggap pengumuman kerajaan mengenai projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Negeri Sembilan sebagai tidak wajar dan merupakan salah satu usaha untuk meraih undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
Pengerusinya Azhar Azizan Harun berkata sekiranya ada laporan polis dibuat dan perkara itu disiasat, maka mahkamah akan memutuskan sama ada langkah kerajaan itu bertentangan dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 ataupun tidak.
"Sesiapa mempunyai maklumat kalau mereka rasakan perkara itu tak elok mereka perlu buat laporan biar pihak penyiasat buat penyiasatan, sekiranya ada kes, jika sesuai oleh pejabat peguam negara maka perkara itu akan dibawa ke mahkamah, maka di situlah penjelasan perlu dibuat dan pembelaan perlu diberikan dan keputusan akan dibuat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan proses pengundian awal di Balai Polis Rantau di sini hari ini.
Sabtu lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dalam ceramah umumnya di Rantau berkata jajaran ECRL disahkan akan diubah dengan memberi manfaat kepada Negeri Sembilan sekiranya ia diteruskan selepas rundingan diadakan dengan kerajaan China, hujung bulan ini.
Sementara itu mengulas mengenai proses pengundian awal hari ini, beliau berkata secara keseluruhannya proses pengundian berjalan lancar dan peratusan keluar mengundi setakat 11 pagi adalah sebanyak 72 peratus.
Azhar Azizan berkata setakat ini pihaknya telah menerima 14 laporan berhubung kesalahan pilihan raya antaranya tiada nama pencetak pada gegantung, gegantung oleh parti yang tidak bertanding dan tiada permit untuk berkempen.
Proses pengundian awal bermula 8 pagi ini di dua pusat pengundian masing-masing di Pangkalan Udara (PU) Sendayan dan Balai Polis Rantau.
Ia membabitkan seramai 74 anggota tentera dan pasangan yang akan membuat pengundian di PU Sendayan serta 36 anggota polis di Balai Polis Rantau.
PRK itu menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan Dr S. Streram, calon Barisan Nasional iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan serta dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.
Ia diadakan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau selama tiga penggal untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah.-Bernama