LOS ANGELES - Para saintis telah berjaya menanam dan menyepadukan sel otak manusia ke dalam tikus yang baru lahir, menurut artikel dalam majalah Nature yang disiarkan pada Rabu.
Ia bertujuan mencipta cara baharu untuk mengkaji gangguan psikiatri yang kompleks seperti skizofrenia dan autisme serta mungkin akhirnya menguji rawatan ke atas penghidap penyakit itu.
Iklan
Iklan
Para penyelidik menanam kumpulan sel otak manusia dipanggil sebagai organoid ke dalam otak tikus muda.
Umur tikus adalah penting kerana neuron manusia telah ditanam ke dalam tikus dewasa sebelum ini, tetapi otak haiwan itu berhenti berkembang pada usia tertentu.
"Ia menjadi vaskular (menerima nutrien) oleh tikus dan boleh meliputi kira-kira satu pertiga daripada otak tikus," kata Sergiu Pasca iaitu pengarang utama kajian dan profesor psikiatri serta sains tingkah laku di Universiti Stanford, California seperti dilaporkan AFP.
Pasca berkata, pemerhatian yang teliti terhadap tikus menunjukkan implan otak itu tidak mengubahnya atau menyebabkan kesakitan padanya.
"Tiada perubahan pada tingkah laku tikus," katanya. - Agensi