MELAKA - Seorang pengarah syarikat menjual barangan elektrik dan elektronik didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis atas kerana menjual kelengkapan komunikasi tidak diperakui.
Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Chong Hui Yee, 38, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan.
Berdasarkan pertuduhan, Hui Yee dan syarikatnya, Leader Electronic & Electrical Trading Sdn Bhd dituduh melakukan kesalahan menjual kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui iaitu satu unit Audio Video Sender jenama HUIYISHUN model YS-100.
Perbuatan itu dilakukan di No. 60, Jalan Kota Laksamana 4, Taman Kota Laksamana pada jam 12 tengah hari 4 September 2020.
Pendakwaan dibuat di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang dibaca bersama Peraturan 16(3) Peraturan-Peraturan yang sama dan Seksyen 244 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan dengan alasan peralatan itu tidak mencatatkan jualan tinggi dan syarikatnya mengalami kerugian berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sementara itu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Mai Zairani Zainal Abidin memohon mengenakan hukuman setimpal mengambil kira kesalahan lazim yang dilakukan selain demi kepentingan awam kerana alat terbabit mengganggu frekuensi radio pengguna lain.
Mahkamah kemudian memutuskan denda RM8,000 atau lapan bulan penjara jika gagal bayar.