JOHOR BAHRU - UMNO dan BN Johor beriltizam mahu memberikan yang terbaik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini, sekaligus mengulangi kejayaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu.
Pengerusinya, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, mandat yang diterima pada PRN Johor membolehkan kerajaan negeri melaksanakan pelbagai inisiatif pro-rakyat dengan lebih responsif, yakin dan konsisten.
"Alhamdulillah, UMNO dan BN telah berjaya memenangi kerusi-kerusi DUN Johor melebihi dua per tiga majoriti. Ia merupakan pencapaian yang bermakna bukan sahaja kepada parti tetapi juga kepada rakyat Johor dan negeri amnya.
"Insya-ALLAH, kita akan berikan yang terbaik untuk kemenangan kerusi-kerusi Parlimen ditandingi BN nanti. Ini kerana, Johor perlukan representasi yang lebih besar di Persekutuan," katanya menerusi kenyataan di Facebooknya pada Khamis.
Bekas Menteri Besar itu menegaskan, kestabilan merupakan ramuan utama dan paling penting dalam menjamin kemakmuran sesebuah negara, dan kelancaran sesebuah pentadbiran.
Ujar beliau lagi, Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO telah membuat keputusan untuk menjadikan tema utama dalam manifesto BN pada PRU15 kali ini ialah 'Kestabilan dan Kemakmuran.'
"Meskipun pada waktu itu kita telah melaksanakan tiga pakej rangsangan ekonomi bernilai lebih daripada RM400 juta dan membuka semula sempadan Johor-Singapura secara berkala, namun pemulihan pasca Covid-19 memerlukan mandat yang stabil dan pentadbiran yang kukuh.
"Johor sedar bahawa usaha memulihkan sosio-ekonomi rakyat Johor perlu didasari kepercayaan yang utuh rakyat kepada Kerajaan," katanya.
Justeru ADUN Benut itu berkata, representasi yang lebih besar akan membantu memacu kemakmuran negeri selari dengan Ikhtiar BN Johor dan agenda-agenda pembangunan negeri yang lain.
"Malaysia pula harus menyedari bahawa, dalam mendepani cabaran-cabaran masa hadapan, negara ini memerlukan kestabilan. Maka, kepada rakyat lah mandat dikembalikan.
"Saya percaya, kita akan bersama-sama lakukannya sekali lagi. I believe, together we will do it again," katanya.
Pada PRN Johor, Mac lalu Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan besar dengan memperolehi majoriti mudah apabila memenangi 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada keseluruhan 56 kerusi yang dipertandingkan.