Wanita didakwa curi barangan kemas RM27,000

Iklan
Tertuduh (kiri) didakwa di Mahkamah Majistret di Kota Bahru pada Khamis.

KOTA BHARU - Seorang wanita berusia 46 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan mencuri lima jenis barangan kemas bernilai RM27,000 di sebuah kedai emas di Jalan Wakaf Stan pada bulan lepas.

Tertuduh yang merupakan seorang peniaga bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa mencuri seutas rantai Coker, seutas rantai boba belut, seutas rantai tangan G. Love, sebentuk cincin dan seutas rantai tangan.

Kesalahan itu dilakukannya di sebuah kedai emas di Jalan Wakaf Stan di sini pada jam 12.24 tengah hari pada 12 September lalu.

Iklan

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Yusnaliza Mohammad Yusoff manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Firdaus Zainal Abidin.

Iklan

Sebelum itu Yusnaliza menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 bagi pertuduhan yang dihadapi wanita itu.

Mohd Firdaus dalam rayuannya memohon jaminan yang rendah dan anak guamnya bersedia dengan segala syarat yang ditetapkan oleh mahkamah.

"Oleh itu, saya mohon jaminan yang rendah dan munasabah ditetapkan kepada tertuduh,” katanya.

Menurut beliau, suami tertuduh yang merupakan seorang guru di sebuah sekolah turut hadir untuk membayar ikat jamin.

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 5 Disember depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.

Sebelum ini, tular satu video di aplikasi TikTok yang memaparkan rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di sebuah kedai emas yang mendakwa seorang wanita mencuri barangan kemas semasa membeli emas di premis tersebut.

Menerusi rakaman itu, wanita tersebut dilihat memilih emas, namun pada masa sama, dia mengambil kesempatan mencuri beberapa barangan kemas.