TOTTENHAM Hotspur perlu melakukan sesuatu yang lebih baik untuk kembali fokus selepas hampir berkongsi satu mata ketika berdepan Eintracht Frankfurt yang beraksi dengan 10 pemain sebelum berjaya menjinakkan lawan 3-2 dalam aksi Liga Juara-Juara di Stadium Tottenham Hotspur, London.
"Sejujurnya, saya merasakan pasukan berdepan situasi bahaya pada minit-minit akhir. Saya menjerit kepada pemain supaya fokus kerana bagi kami kemenangan pada perlawanan ini sangat penting.
"Namun pada penghujung perlawanan, sebarang kemungkinan boleh berlaku dan atas sebab ini, ia perlu menjadi (pengajaran) yang besar untuk kami elakkan berulang pada masa dan fokus sehingga tamat,” kata pengendali Tottenham, Antonio Conte.
Dalam perlawanan Kumpulan D itu, Daichi Kamada terlebih dulu meletakkan Frankfurt didepan pada minit ke-14, sebelum Son Heung-min menyamakan kedudukan pada minit ke-20.
Harry Kane kemudian memulakan kebangkitan kelab London itu apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-28, diikuti jaringan Heung-min minit 36.
Begitupun Frankfurt terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas kehilangan pemain pertahanan Tuta pada minit ke-59 susulan dilayangkan kad kuning kedua.
Beraksi dengan kekurangan seorang pemain, skuad kendalian Oliver Glasner nyata tidak mudah mengalah dengan terus melakukan asakan dalam memburu gol penyamaan, selepas Kane terlepas satu lagi sepakan penalti, berjaya merapatkan kedudukan menerusi Faride Alidou pada minit ke-87.
Kemenangan di laman sendiri itu menyaksikan Tottenham terus memperkukuhkan kedudukan dengan mengumpul tujuh mata selepas mengharungi empat perlawanan.
Bagaimanapun kemarahan Conte tidak menular kepada Kane yang terlepas sepakan penalti, sebaliknya dia memuji permainan penyerang itu sepanjang perlawanan,
"Kita bercakap tentang seorang pemain yang sangat sukar untuk terlepas sepakan penalti, tambahan dia pula seorang penyerang. Saya fikir hari ini dia mungkin benar-benar letih selepas banyak berlari dan bermain untuk pasukan.
"Paling penting dia menjaringkan gol dan ini adalah berita baik untuk kami, begitu juga Heung-min. Sekarang, perlawanan ini berakhir dan (ia) kemenangan yang baik, kami mendahului kumpulan. Kami perlu fokus pada Liga Perdana kerana akan menghadapi perlawanan yang sukar menentang Everton,” kata pengendali dari Itali itu.