GEORGETOWN- Dua laporan polis dibuat ke atas Ketua Pergerakan Malaysiaku Tanah Airku, Raggie Jessy Rithaudeen kerana didakwa memfitnah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sebuah klip video.
Laporan itu dibuat oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Fahmi Zainol dan Exco AMK Pulau Pinang, Hasanul Afiq Abdul Halim di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) tadi.
Turut hadir, Naib Pengerusi Pimpinan Negeri (MPN) Pulau Pinang, Jason Ong Khan Lee dan peguam PKR, S Raveentharan.
Fahmi berkata, laporan polis itu dibuat selepas pihaknya mendapat klip video berdurasi 2 minit 41 saat itu pada 3 April lalu melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook.
Menurutnya, dalam klip video berkenaan, Raggie sebagai tetamu jemputan dalam satu wawancara telah menyentuh beberapa isu sensitif, menghasut dan memfitnah Anwar.
Tambahnya, Raggie juga menuduh Anwar kononnya beliau telah berkomplot dengan Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin DAP untuk kepentingan politiknya.
"Pada minit 1.23 menerusi klip video itu, Raggie juga didapati menuduh Anwar sanggup jual Islam dan sanggup menjual apa sahaja asalkan dia dapat menjadi Perdana Menteri.
"Dia juga menuduh Anwar bersubahat dengan DAP semata-mata untuk manfaat orang bukan Islam. Ini satu tuduhan yang melampau dan perlu disiasat oleh polis dengan segera," katanya pada sidang media tadi.
Fahmi berkata, menerusi wawancara itu juga, Raggie turut mendakwa mengetahui mengenai 'Sodomy-3' yang kononnya akan digunakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memenjarakan Anwar semula.
"Pada minit 2.17, dia mendakwa Mahathir memang ada rancangan untuk memenjarakan Anwar dan kononnya dia sudah lihat bukti 'Sodomy-3' tersebut. Selain itu, dia juga menuduh Anwar bertanggungjawab terhadap skandal krisis kewangan pada 1997 (Forex).
"Saya mendapati klip video tersebut mengandungi unsur hasutan dan fitnah secara jenayah terhadap pemimpin kerajaan selain boleh mencetuskan suasana tidak harmoni khususnya terhadap Anwar sebagai bakal Perdana Menteri," katanya.
Jelasnya, tindakan Raggie tersebut telah mengancam keharmonian serta perpaduan masyarakat di Malaysia.
Fahmi berkata, Raggie juga telah mencalarkan imej dan menjatuhkan martabat Anwar sebagai Ahli Parlimen Port Dickson dan Presiden PKR.
Sementara itu, Raveentharan berkata, menerusi klip video itu, Raggie didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah hasutan.
"Selain itu, dia juga boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan telah membuat pengkhianatan terhadap pemimpin negara serta keharmonian negara.
"Sehubungan itu, kita berharap polis segera menjalankan siasatan dan mengambil tindakan ke atas Raggie," katanya.