SHAH ALAM - Cincin dipakai seorang wanita untuk tujuan perubatan akhirnya memakan diri selepas ia gagal ditanggalkan sejak sebulan lalu.
Dalam tempoh tersebut, wanita berusia 32 tahun itu mencuba beberapa kali untuk menanggalkannya tapi tidak berjaya.
Mangsa pada mulanya beranggapan perkara itu biasa saja, namun lama-kelamaan jari telunjuk tangan kirinya mula membengkak dan sakit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Ahmad Subhan Mohamed berkata, mangsa kemudiannya ke sebuah hospital swasta di Seksyen 31, Bukit Rimau di sini pagi tadi untuk mendapatkan rawatan tetapi dinasihatkan doktor untuk memotong cincin keluli tahan karat dipakainya.
Beliau berkata, susulan itu, pihaknya menerima panggilan daripada hospital berkenaan pada jam 2.29 pagi untuk khidmat khas memotong cincin tersebut.
"Anggota kita berjaya memotong cincin dipakai mangsa dengan menggunakan pemotong 'air grinder' dalam keadaan selamat.
"Proses tersebut mengambil masa kira-kira 15 minit," katanya.
Menurutnya, cincin terbabit dimiliki mangsa sejak tiga tahun lalu atas tujuan perubatan.
Sementara itu, operasi khidmat khas itu melibatkan seorang pegawai dan tiga anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam.