SHAH ALAM - Semua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti diingatkan jangan menggunakan taktik kotor dengan merasuah orang ramai semasa berkempen.
Setiausaha Rasuah Busters Negeri Perak, Arvend Applasamy berkata, mereka perlu fokus kepada manifesto atau menonjolkan usaha-usaha yang akan dilaksanakan bagi membantu rakyat keluar daripada belenggu kesusahan dan keperitan hidup.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Belia India Malaysia (MIYC) berkata, perbuatan memberi atau menyogok secara halus yang mempunyai makna tersirat semasa tempoh berkempen seharusnya dihentikan oleh semua calon bertanding kerana ia bukan lagi masa yang sesuai menabur bakti bagi mengelak salah sangka.
"Calon-calon yang bertanding pada PRU15 nanti seharusnya mendekati rakyat dengan menampilkan manifesto bermanfaat dan berguna, bukannya baru hendak menghimpit pengundi dengan pemberian yang penuh tersirat.
"Gunakan pendekatan yang ada itu untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka memilih calon dan parti yang boleh memberikan perkhidmatan terbaik, berkhidmat untuk rakyat serta bersungguh-sungguh memajukan negara.
"Janganlah lagi bermain sandiwara dengan menipu rakyat menerusi habuan tidak seberapa pada tempoh berkempen, sebaliknya bertekad menjadi pemimpin yang telus mentadbir negara dan beramanah menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat," katanya kepada kru Rasuah Busters pada Khamis.
Mengulas lanjut, Arvend berkata, pilihan raya merupakan hak mutlak rakyat melaksanakan tanggungjawab mengundi secara bebas dan bukannya disogok dengan kebendaan, sekali gus menjadikan demokrasi berparlimen subur di negara ini.
Beliau yang juga Presiden Gerakan Pelajar India Semalaysia (MISF) berkata, proses pilihan raya di negara ini adalah medan menyambut dan menyemarakkan amalan demokrasi yang dilaksanakan secara adil serta bersih.
Untuk itu menurutnya, calon seharusnya memainkan peranan membantu menjayakan amalan agenda penting tersebut dan membantu orang ramai jauh daripada perbuatan jijik seperti amalan rasuah serta suapan.
Tegasnya, jangan sesekali menggunakan jalan pintas untuk memenangi hati rakyat dengan menggunakan jalan salah, seterusnya diangkat sebagai kumpulan pemimpin.
"Namun ada juga golongan yang menerima sahaja apa yang diberikan oleh calon bertanding di kawasan mereka semasa tempoh berkempen, tetapi tidak semestinya mengundi pihak yang memberikan umpan undi tersebut.
"Kebanyakan masyarakat sudah sedar dengan taktik seumpama itu dan bijak membuat pilihan bagi memastikan individu yang bersih dan berintegriti diangkat sebagai pemimpin, sekali gus memastikan negara ini tidak rosak akibat pemimpin yang korup," katanya.
Ditanya bagaimana mahu merubah dan menghalang amalan 'pemberian ada makna' menjelang PRU-15 nanti, Arvend berkata, anak-anak merupakan ejen perubahan terbaik yang boleh memainkan peranan dalam institusi kekeluargaan.
Jelasnya, sebagai anak-anak terpelajar dan lebih celik dengan situasi politik semasa, golongan tersebut berperanan memberi penjelasan tepat kepada ibu bapa terutama kepada mereka yang berada di kampung halaman.
Katanya, pendekatan seumpama itu perlu dilakukan bagi membuka minda ibu bapa atau sanak saudara di kampung yang kemungkinan tidak mempunyai ilmu politik masa kini.