KUALA LUMPUR - Strategi parti politik dalam menentukan calon bertanding terutamanya di Parlimen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 menjadi tanda tanya sama ada penyandang ahli Parlimen akan bertanding di kawasan yang sama atau ‘melompat’ kerusi ke kawasan lain.
Ini kerana terdapat beberapa ahli politik terkenal yang pernah bertukar ke kawasan Parlimen lain dalam beberapa pilihan raya umum sebelum ini antaranya veteran DAP, Lim Kit Siang yang pernah bertanding tujuh kerusi Parlimen sejak PRU3 hingga PRU14.
Mengulas perkara itu, penganalisis politik Prof Dr P Sivamurugan berkata, lazimnya perubahan wakil rakyat ke kawasan Parlimen lain adalah antara strategi untuk mengimbangi serta membawa pengaruh mereka dari kawasan asal ke kawasan yang lain.
"Ini dilakukan apabila kerusi asal mereka sudah kuat dan mereka akan bergerak ke kawasan baharu untuk membolehkan bilangan kerusi dimenangi parti mereka bertambah (ke kawasan baharu),” kata pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu kepada Bernama.
Beliau berkata, ini sekali gus memperluas penguasaan sesebuah parti dalam Parlimen dengan mempertaruhkan calon diyakini boleh menang yang mempunyai ketokohan dan kepimpinan berdasarkan prestasi khidmat sebagai wakil rakyat di satu kawasan itu.
"Apabila seseorang Ahli Parlimen sudah bertapak dalam tempoh lama di satu kawasan, maka identiti pemimpin itu mungkin boleh mempengaruhi pengundi di kawasan lain kerana prestasi atau sumbangannya di kawasan asal dilihat mampu memberi pendekatan atau strategi untuk parti memperoleh kemenangan,” katanya.Beliau berkata, strategi sedemikian pernah diguna pakai oleh DAP dengan menyaksikan beberapa pemimpin tertinggi selain Lim, yang bertukar kawasan pada beberapa pilihan raya umum sebelum ini seperti Liew Chin Tong dari Bukit Bendera ke Kluang pada 2013 (PRU13), kemudian bertukar ke Ayer Hitam pada PRU14.
"(Parti lain) Wan Azizah Wan Ismail (PKR) dari Permatang Pauh ke Pandan, Rashid Hasnon (Bersatu) dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerjak ke Parlimen Batu Pahat malah Tun Dr Mahathir Mohamad dari Kubang Pasu ke Langkawi pada PRU14 (Pengerusi Bersatu pada ketika itu),” katanya.
Ditanya sama ada perlunya peraturan dalam perlembagaan parti untuk tidak membenarkan Ahli Parlimen sering beralih kawasan ditandingi demi kepentingan pengundi, Sivamurugan berpendapat perkara itu tidak wajar dilaksanakan.
"... kerana ini semua kembali kepada matlamat kenapa seseorang itu bertanding dan bagaimana itu juga membolehkan calon luar (bukan anak tempatan) dari sesuatu kawasan lain (untuk bertanding) ke kawasan baharu.
"Sekiranya ada sekatan atau keterbatasan seumpama itu, ia akan merencatkan proses menambah atau mencari calon-calon baharu yang bersesuaian untuk ditempatkan di mana-mana kawasan,” katanya.Beliau menjelaskan, perubahan calon di kawasan yang direbutkan itu berkemungkinan atas faktor kerusi asal ditandingi itu tidak membawa tuah atau gagal dipertahankan, justeru, pendekatan parti menggerakkan calon ke kawasan lain dianggap lebih berpotensi untuk memperoleh kemenangan.
Mengulas tindakan parti yang mengekalkan Ahli Parlimen asal di sesuatu kawasan yang sama dalam tempoh lama, Sivamurugan berkata, seorang tokoh politik cenderung memilih berada di kawasan sama disebabkan faktor lokaliti dan kemampuan meneruskan perkhidmatannya.
"Ahli Parlimen itu sudah tahu setiap sudut bucu kawasan itu, mereka mempunyai isu minimum dalam kawasan serta parti dan yakin mampu terus bertahan sebagai wakil rakyat di kawasan sama.
"Namun, untuk seseorang itu berada di kawasan sama dalam tempoh lama mereka perlu memastikan tidak berlaku defisit kepercayaan, meningkatkan kemampuan serta kewibawaan mereka dan terus mempertahankan penghormatan diberikan oleh pengundi,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai contoh mula melangkah ke Parlimen di kerusi Bera apabila berjaya menewaskan Ab Wahab Ismail (Pas) dengan majoriti 4470 undi pada PRU11 dan seterusnya dilantik sebagai Ketua UMNO Bahagian Bera.Pada 2008, beliau berjaya mengekalkan kerusinya daripada jatuh ke tangan Pas yang diwakili oleh Mazlan Aliman dengan majoriti 3821 undi pada PRU12 selain turut dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO bagi penggal 2008/2011.
Beliau sekali lagi berjaya mempertahankan parlimen Bera dari jatuh ke tangan pihak lawan pada PRU13 dan PRU14.
Sementara itu, Prof Madya Datuk Dr Baharuddin Aziz berkata, walaupun pertukaran kerusi merupakan satu strategi popular, namun ia dilihat langkah tidak 'manis' atau tidak beretika.
Beliau berkata, seseorang wakil rakyat perlu memegang jawatan selama sekurang-kurangnya dua penggal di kawasan yang dimenangi bagi memastikan agenda pembangunan kawasan itu terlaksana.
"Empat atau lima tahun (satu penggal) mungkin tak cukup, kalau kita minta report card mereka yang selalu lompat kerusi ni, rasanya hasilnya sifar, rakyat di kawasan pun tidak dapat rasa apa-apa hasil kejayaan mereka," katanya yang juga merupakan Felo Penyelidik Kanan Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur.
Beliau berkata, parti perlu satu peraturan bertulis yang menentukan wakil rakyat perlu kekal bertanding satu kerusi sekurang-kurangnya dua penggal sebelum bertanding di kerusi lain pada pilihan raya seterusnya.
Ini bagi memastikan amanah yang diberikan rakyat kawasan berkenaan adalah bermakna serta memastikan janji yang ditabur ketika kempen dilunaskan.
Justeru katanya pertukaran kerusi yang dijadikan 'senjata politik' oleh sesetengah parti perlu dihentikan dan wakil rakyat perlu setia pada pengundi di satu-satu kawasan selagi diberi mandat berbakti di kawasan itu. - Bernama
Berikut beberapa contoh Ahli Parlimen bertukar kerusi setakat PRU14 lalu:
1. Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
PRU9 (1995) - Tenggara
PRU10 (1999) - Tenggara
PRU11 (2004) - Sembrong
PRU12 (2008) - Sembrong
PRU13 (2013) - Sembrong
PRU14 (2018) - Sembrong
2. Datuk Seri Anwar Ibrahim
PRU6 (1982) - Permatang Pauh
PRU7 (1986) - Permatang Pauh
PRU8 (1990) - Permatang Pauh
PRU9 (1995) - Permatang Pauh
PRK (2008) - Permatang Pauh
PRU13 (2013) - Permatang Pauh
PRK (2018) - Port Dickson
3. Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
PRU10 (1999) - Permatang Pauh
PRU11 (2004) - Permatang Pauh
PRU12 (2008) - Permatang Pauh
PRK (2015) - Permatang Pauh
PRU14 (2018) - Pandan
4. Nurul Izzah Anwar
PRU12 (2008) - Lembah Pantai
PRU13 (2013) - Lembah Pantai
PRU14 (2018) - Permatang Pauh
5. Lim Kit Siang
PRU3 (1969) - Bandar Melaka
PRU4 (1974) - Bandar Melaka
PRU5 (1978) - Petaling
PRU6 (1982) - Kota Melaka
PRU7 (1986) - Tanjong
PRU8 (1990) - Tanjong
PRU9 (1995) - Tanjong
PRU10 (1999) - Bukit Bendera (tewas)
PRU11 (2004) - Ipoh Timor
PRU12 (2008) - Ipoh Timor
PRU13 (2013) - Gelang Patah
PRU14 (2018) - Iskandar Puteri
6. Lim Guan Eng
PRU7 (1986) - Kota Melaka
PRU8 (1990) - Kota Melaka
PRU9 (1995) - Kota Melaka
PRU12 (2008) - Bagan
PRU13 (2013) - Bagan
PRU14 (2018) - Bagan
7. Mohamad Sabu
PRU7 (1986) - Permatang Pauh (tewas)
PRU8 (1990) - Nilam Puri
PRU9 (1995) - Kubang Kerian
PRU10 (1999) - Kuala Kedah
PRU11 (2004) - Kuala Kedah (tewas)
PRU12 (2008) - Kuala Terengganu (tewas)
PRU13 (2013) - Pendang (tewas)
PRU14 (2018) - Kota Raja
Tan Sri Abdul Hadi Awang
PRU5 (1978) - Marang (tewas)
PRU6 (1982) - Dungun (tewas)
PRU7 (1986) - Marang (tewas)
PRU8 (1990) - Marang
PRU9 (1995) - Marang
PRU10 (1999) - Marang
PRU11 (2004) - Marang (tewas)
PRU12 (2008) - Marang
PRU13 (2013) - Marang
PRU14 (2018) - Marang
10) Tun Mahathir Mohamad
PRU2 (1964) - Kota Setar Selatan
PRU3 (1969) - Kota Setar Selatan (tewas)
PRU4 (1974) - Kubang Pasu
PRU5 (1978) - Kubang Pasu
PRU6 (1982) - Kubang Pasu
PRU7 (1986) - Kubang Pasu
PRU8 (1990) - Kubang Pasu
PRU9 (1995) - Kubang Pasu
PRU10 (1999) - Kubang Pasu
PRU14 (2018) - Langkawi