SHAH ALAM - Penjawat awam diingatkan untuk terus berkhidmat dengan cemerlang bagi memastikan pentadbiran negara berjalan dengan baik di bawah kerajaan sementara sehingga kerajaan baharu dibentuk.
Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin berkata, peranan penjawat awam adalah sangat penting terutama sepanjang kerajaan 'caretaker' kerana menjadi benteng pertahanan negara pada masa sekarang, sekali gus bertindak sebagai barisan hadapan pertama yang akan memberi acuan kepada pembentukan Malaysia pada pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Untuk itu katanya, penjawat awam terutama golongan pegawai diingatkan untuk menjalankan tugas dengan penuh amanah tanpa dimanipulasi oleh mana-mana parti politik yang mahu mempergunakan demi kepentingan diri masing-masing.
"Merujuk kepada kenyataan media Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), pegawai dan penjawat awam diingatkan untuk memastikan larangan penggunaan aset kerajaan dan awam digunakan untuk tujuan berkempen.
"Selain itu, larangan berkempen pada waktu pejabat semasa pilihan raya harus dipatuhi oleh semua petugas di kementerian dan agensi kerajaan.
"Diharap perkara-perkara ini dapat dilaksana dan dikuatkuasakan secara menyeluruh di semua peringkat pentadbiran kerajaan. Sekiranya rakyat perlu dibantu, bantulah merentasi kefahaman dan sokongan politik mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu Badlishah berkata, sebagai badan yang mengurus secara terus pentadbiran dan perjalanan pilihan raya, SPR perlu bersikap bebas daripada pengaruh dan tekanan mana-mana individu atau parti politik.
Jelasnya, perkara tersebut dilihat sangat penting bagi memastikan PRU15 dapat dilaksanakan dengan bersih dan adil.
Selain itu menurutnya, SPR perlu memastikan tidak berlaku salah guna kuasa dan tiada unsur rasuah dalam perjalanan PRU kali ini oleh mana-mana pihak.
"Kita seluruh rakyat impikan pembentukan Malaysia pasca PRU15 bermula dengan proses yang baik. Buah yang sedap ranum semestinya sihat juga di dalam, tiada ulat dan tiada yang busuk.
"Begitu juga dengan negara kita. Pastinya kita tidak mahu ia bermula dengan tidak baik, seterusnya boleh memberi kesan dan merosakkan negara pada masa hadapan.
"Oleh yang demikian, Ikram bersama seluruh rakyat Malaysia meletakkan pengharapan yang tinggi kepada penjawat awam di semua peringkat di seluruh negara untuk berusaha memastikan proses PRU15 berjalan secara bersih dan adil. Semoga Malaysia kembali dihormati dan disegani di persada dunia," katanya.