JASIN - Sepasang suami isteri warga emas kerugian RM54,500 selepas wang simpanan mereka lesap dilarikan tiga lelaki dalam urusan pembelian batu delima yang didakwa boleh mengubati pelbagai penyakit, 5 Oktober lepas.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 40 hingga 50 tahun itu memperdaya mangsa yang berusia 75 tahun dan 70-an kira-kira 11.50 pagi di Bandar Jasin.
"Ketika berada di tempat letak kenderaan, suami isteri itu didatangi suspek pertama yang berpura-pura mencari seorang individu untuk membeli buku agama dan pada masa sama, suspek kedua lalu di situ dan mangsa memintanya bertanya kepada lelaki tersebut.
"Suspek kedua memberitahu dia tidak mengenali penama itu dan berpura-pura bertanya tujuan suspek pertama mencarinya sebelum menjelaskan ada individu menyuruhnya mencari penama lelaki untuk menunjukkan batu delima,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mispani berkata, lelaki itu mengeluarkan sebutir batu delima bersaiz batu cincin dari poket dan memberitahu batu merah yang dilihat pasangan itu tidak boleh dilihat di tempat umum lalu pasangan berkenaan mengajak kedua-dua suspek masuk ke dalam kereta mereka.
"Suspek mempelawa pasangan suami isteri itu minum air rendaman tersebut dan memberitahu batu merah yang didakwa batu delima itu bernilai tinggi di pasaran seterusnya menghubungi seorang rakannya (suspek ketiga) lalu bertemu di Hospital Jasin,” katanya.
Mispani berkata, selepas berbincang, suspek ketiga ingin membeli batu delima itu pada harga RM320,000 dan suspek kedua telah memberi cadangan hasil wang jualan itu akan dibahagikan sama rata antara dia dan pertama serta pasangan suami isteri itu.
"Suspek ketiga kemudian meminta pasangan itu mendahulukan wang selain berjanji akan memberikan RM320,000 selepas itu namun pasangan itu memberitahu buku akaun bank mereka berada di rumah.
"Suspek ketiga kemudian beredar dari kereta itu manakala pasangan tersebut mengambil duit simpanan RM4,500 dan buku akaun di rumah mereka di Felda Bukit Senggeh lalu dua suspek mengikuti mereka ke sebuah bank di Tangkak, Johor untuk pengeluaran wang sebanyak RM50,000,” katanya.
Mispani berkata, selepas pasangan itu menyerahkan wang RM50,000 dan suspek menyerahkan batu delima, suspek meminta pasangan itu menunaikan solat sunat di sebuah masjid di Tangkak bagaimanapun kedua-dua suspek melarikan diri ketika mangsa menunaikan solat sunat dan solat zuhur.
"Pasangan itu kemudian menyedari mereka ditipu selain mendapati batu delima yang diberikan itu sentiasa menyala walaupun tidak direndam di dalam air lalu membuangnya ke dalam sungai di Bandar Jasin kerana bimbang keselamatan mereka,” katanya sambil menambah mangsa membuat laporan di Balai Polis Jasin pada hari sama dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - Bernama