PH ada idea yang jelas untuk Malaysia: Muda

Iklan
Amira Aisya. (Kiri) Laporan Sinar Harian pada Rabu.

SHAH ALAM - Penyertaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disebabkan gabungan itu mempunyai idea yang jelas untuk Malaysia.

Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz berkata, pimpinan gabungan itu juga mengangkat politik khidmat dan dasar yang juga menjadi asas kepada partinya bekerja.

Iklan
Iklan

"Apabila perbincangan ini dibuat dalam kalangan pimpinan Muda, kita semua sepakat bahawa gabungan politik yang berkongsi nilai (shared values), dan meraikan semua tanpa mengira agama dan bangsa adalah PH.

"Malah, Muda dan PH sudah bekerjasama dalam banyak ruang yang ada. Dari bersuara untuk rakyat di jalan, hinggalah hubungan baik di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Iklan

Tambah Amira Aisya, beliau secara peribadi juga teruja untuk bekerjasama dengan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya menyambut baik keputusan Majlis Presiden PH yang dibuat semalam (malam Rabu) untuk mewujudkan Pakatan Pilihanraya (Electoral Pact) bersama Muda,” ujarnya.

Iklan

Mesyuarat Majlis Presiden PH pada malam Rabu setuju menjalin kerjasama dengan Muda bagi menghadapi PRU15 nanti.