SEREMBAN - Orang ramai perlu mengubah budaya pulang ke kampung untuk mengundi setiap kali pilihan raya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, setiap individu sepatutnya mengundi di tempat mereka bermastautin atau tempat bekerja.
"Contohnya, orang Kelantan tinggal di Selangor yang kebanyakannya sudah membeli rumah di tempat mereka bekerja. Cumanya mereka ada sentimen mahu mengundi di kampung.
"Jadi, budaya itu perlu diubah dan kebaikannya mereka mudah untuk pergi mengundi dan tak perlu melalui perjalanan berjam-jam pulang ke kampung," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurutnya, syaratnya mereka perlu menukar alamat pada kad pengenalan terlebih dahulu dan proses itu kini lebih mudah dan cepat.
Kata Mohamad Taufek lagi, persepsi yang negeri enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) ini menyusahkan rakyat kerana mereka perlu keluar mengundi kali kedua pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak sepatutnya timbul.
"Dalam menyelesaikan isu ini, saya sarankan individu yang perlu pulang ke kampung untuk mengundi buat permohonan tukar alamat mengundi mereka selepas pilihan raya Parlimen supaya tak perlu pulang dua kali untuk mengundi pada pilihan raya DUN pula.
"Kita perlu menghormati pandangan kerajaan negeri atas alasan mahu menjaga kebajikan rakyat kerana risau akan banjir dan sepatutnya rakyat juga ada sikap prihatin dalam isu ini," katanya.
Beliau berkata, menjadi tanggungjawab setiap individu untuk mengundi di tempat tinggal mereka terutama bagi yang telah bermastautin di situ.
Ujarnya, ia bagi memudahkan wakil rakyat menyalurkan bantuan kepada mereka kerana biasanya antara prosedur digunakan ialah melihat individu itu mengundi di mana.
"Contohnya, individu itu tinggal di Paroi, tapi tak mengundi di Paroi kerana alamat mengundi di luar sedangkan bajet dikeluarkan oleh kerajaan negeri untuk mereka tinggal dan mengundi di Paroi.
"Tapi jika ada isu terpencil misalnya mereka susah nak balik kampung jumpa wakil rakyat tempat mereka undi, kita akan bantu. Cuma biasanya, keutamaan diberi kepada pengundi di kawasan itu," katanya.