PENANGGUHAN Kejohanan Ragbi Piala Agong 2022 yang dijadual berlangsung bulan ini memberi kesan kepada misi Selangor menamatkan penantian selama 16 tahun untuk muncul juara.
Presiden Kesatuan Ragbi Selangor, Syed Aldrin Syed Kabeer berkata, penangguhan kejohanan yang sepatutnya bermula 22 Oktober hingga 26 November itu bukan sahaja memberi impak kepada pengurusan pemain import, malah pasukan turut berdepan risiko kehilangan khidmat mereka.
"Ia (penangguhan) beri kesan juga dari segi penempatan atlet dan sekarang timbul isu ada pemain yang kita dah 'ikat' tapi bila ditangguhkan, ada pasukan lain cuba 'bercakap' dengan mereka,” katanya pada sidang akhbar Corporate Premier Rugby Championship pada Khamis.
Ragbi Piala Agong 2022 ditangguh bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan tarikh baharu pertandingan akan ditetapkan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh hari penamaan calon dan pengundian.
Mengulas lanjut, Syed Aldrin berkata, pada edisi kali ini Selangor mempertaruhkan barisan pemain muda dan berpengalaman bagi merealisasikan impian mara ke final seterusnya muncul juara selepas kali terakhir pada 2006.
Beliau berkata, pasukan telah mengenal pasti pemain daripada Liga Ragbi Negeri Selangor serta bakat muda yang membantu Selangor mara ke pentas final Sukan Malaysia (Sukma)MSN 2022 baru-baru ini.
"Sasaran kita cuba layak ke final dan jadi juara Piala Agong,” katanya sambil mengakui Polis Diraja Malaysia (PDRM) pasukan yang perlu diberi perhatian kerana dibarisi ramai bekas pemain kebangsaan dan pemain import dari Fiji, selain pasukan Putrajaya dan Terengganu.
Beliau mengakui peranan pemain import amat penting kerana ia dilihat sebagai antara elemen utama yang dapat membantu pasukan mencapai kejayaan.
Sebanyak 16 pasukan mengesahkan penyertaan pada edisi ke-38 yang sepatutnya diadakan kembali tahun ini selepas ditangguh dua tahun susulan pandemik Covid-19.
Untuk rekod, Terengganu muncul juara edisi 2019 selepas menewaskan Sabah. - Bernama