KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan notis usul bagi menuntut perisytiharkan bahawa tujuh tuduhan kes pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram berhubung dana SRC Intertional Sdn Bhd berjumlah RM42 juta yang dihadapinya, adalah 'cacat'.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lutfi Mohamed pada prosiding pengurusan kes itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Bercakap kepada pemberita selepas selesai kes, Budiman berkata pihak pendakwaan menerima notis usul dan afidavit permohonan Najib hari ini.
"Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Mahyudin Mohmad Som itu, mengarahkan pihak pendakwaan memfailkan afidavit balasan pada 15 April ini.
"Kedua-dua pihak diarahkan memfailkan hujahan masing-masing pada 22 April,"ujarnya.
Tambah beliau pendengaran notis usul itu bagaimanapun belum ditetapkan lagi dan berkemungkinan di antara 22 dan 26 April ini.
Dalam permohonan notis usul yang difailkan pasukan pembelaan Najib pada 3 April lalu, bekas Menteri Kewangan itu memohon supaya tujuh tuduhan yang dikenakan terhadapnya itu, digantung atau dibatalkan.
Antara lain beliau mengemukakan alasan bahawa tuduhan itu cacat dari segi bentuk dan isi perkara, selain ia adalah satu proses penyalahgunaan mahkamah.
Prosiding itu turut dihadiri peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee.
Pada hari pertama perbicaraan SRC International pada 3 April lalu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee yang mewakili Najib, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa pihaknya akan memfailkan notis usul bagi mencabar tuduhan itu.
Perbicaraan kes itu telah memanggil seorang saksi dan akan bersambung pada 15 April ini.
Najib, 66, didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.