TUMPAT - Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan merampas pelbagai jenama vape bernilai RM524,000 berhampiran pangkalan haram Paija di sini pada Khamis.
Rampasan jam 3 pagi itu dilakukan oleh sepasukan anggota yang melakukan rondaan rutin di kawasan Kuala Jambu.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, semasa rondaan dilakukan anggota bertugas telah terserempak dengan beberapa lelaki sedang memunggah kotak dalam keadaan mencurigakan dari sebuah kereta jenis Proton Saga ke dalam perahu di tepi Sungai Golok.
"Menyedari kehadiran anggota PGA mereka bertindak melarikan diri dengan menaiki perahu ke negara jiran," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan di dalam kereta tersebut menjumpai 1,950 kotak berisi cecair vape (pod) dan 110 botol vape pelbagai jenama serta perisa bernilai RM524,000.
Beliau berkata, kesemua barangan rampasan dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) PGA Kuala Jambu untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952.