KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang berkuat kuasa pada Jumaat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, pembubaran itu dibuat selepas mendapat perkenan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu.
"Pembubaran ini selaras dengan Fasal (2) Perkara 26 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang, apabila Tuanku berkenan agar DUN Pahang ke-14 dibubarkan berkuat kuasa pada Jumaat bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri dilaksanakan serentak dengan PRU di peringkat Persekutuan.
"Tarikh ini (Jumaat) dipilih, bagi membolehkan pembentangan dan perbahasan mengenai Belanjawan 2023 negeri disempurnakan terlebih dahulu, sekali gus mendapat kelulusan untuk dilaksanakan pada tahun hadapan.
"Notis pembubaran DUN diserahkan kepada Yang Dipertua Speaker DUN, Datuk Seri Ishak Muhamad pada petang Khamis untuk diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya ketika mengadakan sidang akhbar khas di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.
Beliau menjelaskan, pembubaran DUN Pahang dibuat secara serentak dengan Parlimen bagi mengelakkan proses dan musim pilihan raya yang berulang-ulang dalam tempoh yang singkat.
Tambahnya, ini kerana, kurang setahun dari sekarang penggal ini akan berakhir dan pilihan raya mesti diadakan.
"Sekiranya Pahang tidak menyertai PRU sekarang, ia hanya akan menyebabkan kita terpaksa melalui proses pilihan raya sekali lagi di peringkat negeri kelak.
"Perkara ini sudah pasti memerlukan penggunaan sumber tenaga, masa dan fokus yang tinggi dan ia boleh dielakkan sama sekali jika PRU bersama-sama kerajaan Persekutuan sekarang," jelas beliau lagi.
Justeru, tegas Wan Rosdy, tindakan kerajaan Pahang itu berupaya menjimatkan kos dalam pelbagai aspek, seperti pengurusan dan pengendalian pilihan raya.
Selain itu katanya, permulaan dan pengakhiran penggal selari antara kerajaan Pahang dan kerajaan Persekutuan pasti melancarkan pelbagai urusan pentadbiran antara kedua-dua pihak.
"Ini sekali gus membolehkan kerajaan negeri memberi fokus kepada agenda pengurusan dan pembangunan negeri dengan lebih berkesan.
"Oleh itu, kerajaan Pahang berpendirian wujud kewajaran serta keperluan untuk negeri Pahang turut menyertai PRU15 pada kali ini," kata beliau.
Wan Rosdy mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Pahang yang telah meletakkan kepercayaan kepada kerajaan BN untuk mentadbir negeri ini sejak empat tahun lalu.
"Insya-ALLAH sekiranya mandat terus diberikan kepada kita dalam PRU15 yang akan dijalankan tidak lama lagi ini, saya akan memastikan BN melakukan ikhtiar yang jauh lebih cemerlang berbanding apa yang telah kami usahakan pada penggal ini.
"Semoga prestasi dan pencapaian cemerlang pada penggal ini serta segala agenda menarik yang telah dibentangkan dalam Belanjawan 2023 minggu lalu akan menjadi pertimbangan kepada semua pihak untuk mengekalkan mandat BN sebagai pentadbir negeri Pahang," jelas beliau.
Pahang ditadbir BN selepas keputusan PRU14 menyaksikan BN menang 25 daripada 42 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (sembilan) dan Pas (lapan).
Pada 10 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Beliau berkata, serentak dengan itu kesemua DUN di bawah kerajaan negeri BN juga akan dibubarkan.