Jeans Levi tahun 1880-an dilelong lebih RM400,000

Iklan
Seluar jeans Levi dari 1880-an yang ditemui di dalam lombong terbiar dilelong pada harga AS$87,400 (RM410,517).

WASHINGTON - Sepasang seluar jeans Levi dari 1880-an yang ditemui di dalam lombong terbiar dilelong pada harga AS$87,400 (RM410,517).

Seluar jeans itu dijumpai di sebuah lombong terbiar di barat Amerika oleh ahli arkeologi denim, Michael Harris dan dijual di Durango Vintage Festivus iaitu sambutan denim empat hari di pinggir Aztec, lapor United Press International (UPI).

Iklan
Iklan

Jeans itu mempunyai butang buckleback dan dibeli oleh Kyle Hautner dan Zip Stevenson.

Hautner membayar 90 peratus daripada harga itu, manakala Stevenson menyumbang baki 10 peratus.

Iklan

Stevenson yang memiliki dan mengendalikan kedai pembaikan Denim Doctors di Los Angeles berkata seluar itu adalah penemuan yang jarang berlaku.

"Seluar jeans ini sangat jarang dijumpai -- terutamanya saiz dan keadaannya masih elok," UPI memetik katanya kepada CNN.

Iklan

Stevenson berkata, Harris telah meneliti sekurang-kurangnya 50 lombong terbiar selama lima tahun lalu dan tidak menemui sesuatu yang mempunyai kualiti sama.

Ujar beliau, seluar yang dilelong itu sebaliknya, boleh dipakai dengan melakukan sedikit pembaikan kecil.

Seluar jeans itu kini disimpan di dalam peti deposit keselamatan berhampiran Denim Doctors dan boleh dilihat melalui temujanji.

Pemiliknya berharap dapat menjual seluar itu ke muzium untuk paparan umum. - Bernama