DUN Perlis bubar

Iklan
Azlan semasa sidang akhbar di Pejabat Menteri Besar Perlis pada Jumaat.

KANGAR - [DIKEMAS KINI] Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-14 berkuat kuasa pada Jumaat.

Azlan berkata, pembubaran DUN itu mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Iklan
Iklan

Katanya, beliau menghadap Raja Perlis bersama Speaker DUN, Datuk Hamdan Bahari di Galeri Diraja, Arau pada jam 3 petang, Khamis.

Menurutnya, kerajaan Perlis menyerahkan segala urusan pilihan raya negeri selanjutnya kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).

Iklan

"Pembubaran membolehkan pilihan raya negeri diadakan untuk memilih 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis serentak dengan PRU15," ujar beliau lagi.

Tambah Azlan, Tuanku Syed Sirajuddin juga disembah maklum mengenai Persidangan Khas DUN Perlis pada Khamis meluluskan secara sebulat suara pindaan kepada Undang-undang Tubuh Negeri yang berkaitan dengan peruntukan Rang Undang-undang Anti Lompat Parti.

Iklan

Menurutnya, semua 13 ADUN yang hadir bersetuju dengan pindaan yang dicadangkan manakala ADUN Sanglang, Mohd Shukri Ramli dan ADUN Titi Tinggi, Teh Chai Aan tidak hadir dengan kebenaran Speaker DUN atas urusan yang tidak dapat dielakkan.

"Tuanku Raja Perlis telah memperkenankan pindaan yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri dan pindaan ini akan diwartakan pada 14 Oktober.

"Pindaan ini pula akan berkuat kuasa mulai 1 November dan semua ADUN Perlis akan tertakluk kepada pindaan ini mulai dari tarikh kuat kuasa tersebut," ujar Azlan.