ANKARA - Parlimen Turkiye pada Khamis meluluskan undang-undang prapilihan raya yang sukar yang boleh menyaksikan wartawan dan para pengguna media sosial dipenjarakan sehingga tiga tahun kerana menyebarkan berita palsu.
Perundangan itu yang terdiri daripada 40 pindaan yang setiap satu memerlukan undian berasingan dicadangkan oleh parti Pembangunan dan Keadilan (AKP) dan ditentang hebat oleh kumpulan pembangkang utama di negara tersebut.
Seorang ahli parlimen dari parti sekular Republik Rakyat (CHP) memecahkan telefon bimbitnya dengan tukul di Parlimen untuk menunjukkan bagaimana kebebasan bersuara dimusnahkan khususnya untuk golongan muda.
"Saya ingin menyampaikan ucapan kepada saudara-saudara saya yang berumur 15, 16, 17 tahun dan yang akan menentukan nasib Turkiye pada tahun 2023," kata ahli parlimen CHP, Burak Erbay sebelum mengeluarkan tukulnya.
"Anda hanya mempunyai satu kebebasan (iaitu) telefon di dalam poket anda. Ada Instagram, YouTube, Facebook. Anda berkomunikasi di sana," katanya menjelang pengundian rang undang-undang tersebut.
Perundangan baharu itu mengenakan hukuman jenayah bagi mereka yang didapati bersalah menyebarkan maklumat palsu atau mengelirukan.
Ia memerlukan rangkaian sosial dan laman web internet untuk menyerahkan butiran peribadi pengguna yang disyaki menyebarkan maklumat mengelirukan
Ia juga membenarkan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara kepada wartawan bertauliah dan pengguna media sosial biasa yang secara terbuka menyebarkan maklumat mengelirukan antara satu hingga tiga tahun penjara. - AFP