HUJUNG minggu yang hangat buat peminat Liga Perdana Inggeris (EPL) khususnya penyokong Liverpool dan Manchester City.
The Reds yang berada di pertengahan carta liga bakal melayan kunjungan The Citizens di Anfield tengah malam Ahad.
Liverpool yang dibimbing Jurgen Klopp mengharapkan kemenangan 7-1 ke atas Rangers dalam saingan Liga Juara-Juara dapat menyemarakkan semangat mereka untuk meraih mata berharga.
City yang terikat tanpa jaringan ketika menentang Copenhagen pada kempen sama sudah pasti enggan pulang tangan kosong.
Kedua-dua pasukan sudah melabur wang yang banyak untuk memantapkan pasukan khususnya di jentera depan dengan Liverpool mempertaruhkan Darwin Nunez, manakala Erling Haaland menjadi sandaran buat City.
Bagaimanapun hanya Haaland dan City yang dibimbing Pep Guardiola terus meningkatkan aksi ke tahap terbaik.
Dua gol Nunez pula hanya hadir dalam dua perlawanan terakhir, berdepan Arsenal dan Rangers, menggambarkan dia sudah mencapai sesuatu seperti Haaland dapat lakukan.
The Reds juga boleh menarik nafas lega setelah Mohamed Salah mencipta sensasi apabila meledak hatrik terpantas dalam tempoh enam minit ketika membenam Rangers baru-baru ini.
Bek kiri Liverpool, Andy Robertson memuji Salah biarpun masuk sebagai pemain gantian, namun mampu membantu pasukan meraih kemenangan.
Salah hanya menjaringkan dua gol dalam liga setakat ini tetapi Robertson berkata kejayaan meledak hatrik itu boleh menjadi titik perubahan buat bintang dari Mesir itu.
"Anda memberi Mo peluang dan dia akan menjaringkan gol. Jadi ia akan memberi tambahan keyakinan kepadanya. Dia seorang pemain yang hebat.
"Biasanya apabila dia beraksi, dia mahu menjaringkan gol. Nasib baik dia hanya meledak tiga gol," katanya.
Haaland yang direhatkan pada aksi menentang Copenhagen dilihat mampu menjadi duri dalam daging buat Liverpool.
Dia baru bermain sembilan aksi EPL setakat ini tetapi sudah memegang rekod gol terbanyak dengan 15 jaringan.