Ibu tunggal tak serik ambil dadah dipenjara lapan bulan

Iklan

KUALA PILAH - Seorang ibu tunggal yang tidak serik ditahan atas kesalahan dadah dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat kerana memasukkan dadah ke dalam badan.

Tertuduh, Norshahira Latif, 28, dijatuhi hukuman tersebut sebaik dia mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Saiful Sayoti.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh pada 1 Julai lalu jam 8.25 malam di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis daerah Kuala Pilah telah didapati memberikan kepada dirinya sendiri dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Oleh demikian tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 38B akta sama.

Iklan

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan hendaklah dikenakan pengawasan tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.

Tertuduh juga mempunyai dua rekod lampau pada tahun 2018 dan 2019.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur'Aqilah Syarfa Nik Zaidi memohon hukuman setimpal kerana tertuduh masih tidak insaf dengan perbuatannya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman dikurangkan berikutan dia tidak bekerja dan merupakan ibu tunggal.

Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan dua tahun pengawasan daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).