JERLUN - Parlimen Jerlun memerlukan lebih perhatian daripada wakil rakyatnya berikutan kawasan itu berada di luar bandar dan mahu lebih banyak penambahbaikan dan pembangunan.
Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Datuk Othman Aziz berkata, majoriti penduduk di kawasan ini bekerja sebagai petani dan mereka dahagakan penambahbaikan dari segi ekonomi, sosial, akademik dan sebagainya.
Datuk Othman Aziz
"Kita tidak mahu seseorang itu ditakdirkan dan dipilih jadi wakil rakyat tapi tidak pernah ada atau tidak pernah nampak muka (di kawasan) dan menyusahkan rakyat.
"Ini yang berlaku di Jerlun, saya rasa rakyat sudah memahami dan menginsafi, saya percaya rakyat Jerlun akan mengembalikan semula kepada BN tanpa mengira siapa yang menjadi calon," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Putat di sini pada Jumaat.
Sementara itu mengulas mengenai keputusan Mukhriz mahu mempertahankan kerusi yang disandangnya di Jerlun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Othman berkata, UMNO sedia berdepan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu.
Beliau yakin rakyat akan kembali memilih BN berdasarkan rekod-rekod kerja yang dilakukan oleh wakil parti dari UMNO sebelum ini.
"UMNO sedia berdepan dengan Mukhriz ataupun sesiapa sahaja wakil dari Perikatan Nasional (PN) ataupun Pakatan Harapan (PH). Ini adalah proses demokrasi.
"Kita sedang berusaha keras memberikan penerangan kepada rakyat untuk memilih calon yang paling terbaik sebab rakyat memerlukan perhatian dan bantuan wakil rakyat dari semasa ke semasa," katanya