Mahkamah arah kesihatan mental bekas pengurus bank diperiksa

Iklan
Gambar hiasan. - Foto 123rf

KLANG - Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat mengarahkan seorang bekas pengurus bank yang sepatutnya didakwa hari ini berhubung penipuan pelaburan menggunakan wang simpanan pelanggan untuk menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak.

Majistret Amirul Asyraf Abd Rasid membuat perintah itu selepas membenarkan permohonan peguam Denis Micheal Pereira yang mewakili lelaki berusia 59 tahun itu supaya anak guamnya dirujuk ke hospital psikiatri bagi pemeriksaan mental sebelum prosiding pendakwaan dimulakan.

Iklan
Iklan

Denis berkata anak guamnya kini berada dalam tempoh cuti sakit bermula 12 hingga 19 Oktober ini yang dikeluarkan Jabatan Psikiatri Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang disebabkan masalah mental.

"Permohonan saya ini dibuat mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah. Berikutan itu, tidak boleh sebarang pengakuan direkodkan dan perlu mendapatkan pengesahan daripada hospital psikiatri terlebih dahulu," katanya.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya Nur'ain Madihah Zulkilfi tidak membantah permohonan itu. Mahkamah menetapkan 6 Disember untuk sebutan semula kes bagi keputusan kesihatan mental lelaki terbabit. - Bernama

Iklan