Lelaki pukul dua adik direman

Iklan
Suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut selepas dipercayai memukul dua adiknya.

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki direman empat hari bermula semalam selepas dipercayai membelasah dua adiknya sehingga cedera hanya disebabkan mereka membuat bising dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Banggol Tok Jiring, di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang, adik perempuan suspek berusia 21 tahun bergurau dengan adik lelaki suspek, 14, di dalam rumah sehingga mengundang bunyi bising.

Iklan
Iklan

Menurut sumber, suspek, 22, yang ketika itu sedang berehat di rumah berasa terganggu.

"Tanpa bertanya apa-apa, suspek dikatakan terus menumbuk muka adik perempuannya dan membaling topi keledar ke arah muka mangsa selain menyepak perutnya.

Iklan

"Akibat tindakan itu, mangsa mengalami kecederaan di muka dan perut," katanya.

Kata sumber itu lagi, masih tidak berpuas hati, kira-kira jam 10 malam hari sama, suspek memukul seorang lagi adik lelakinya dengan kasut di seluruh tubuh badan mangsa.

Iklan

Kejadian itu disedari ibu mereka sebelum dia membuat laporan polis di Balai Polis Gong Badak keesokan harinya.

Susulan laporan dibuat, suspek ditangkap kira-kira jam 12.30 tengah malam semalam semasa berada di rumah mereka.

Sementara itu, Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff membenarkan suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18(A) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521)/ 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.