JOHOR BAHRU - Pengguna tidak seharusnya menyalahkan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terutamanya penguat kuasa yang cuba membantu mereka menangani isu kekurangan bekalan bahan mentah.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexandar Nanta Linggi berkata, pengguna sepatutnya menggunakan hak mereka untuk menyalahkan pengeluar dan pembekal berikutan kekurangan bekalan mentah di pasaran hari ini.
"Kadang-kadang kita tuduh penguat kuasa yang bantu kita. Mereka (orang ramai) gunakanlah hak mereka sebagai pengguna..marahkan mereka (pengeluar, pembekal) ini.
Iklan
Iklan
"Dalam pemantauan kita, didapati bekalan telur ini agak bermasalah sedikit dari segi bekalan sebab itu pihak kementerian bersama pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Jabatan Veterinar telah membuat libat urus supaya pihak ladang-ladang yang terlibat (pengeluaran telur ayam) ini agar meningkatkan pengeluaran (telur ayam),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di Angsana Mall di sini pada Jumaat.
Untuk rekod, ketika ini isu kekurangan bahan mentah seperti telur ayam selain ayam standard dan minyak masak di pasaranmenjadi bualan hangat dalam kalangan pengguna terutamanya menjelang perayaan Deepavali.
Sementara itu, Alexander menegaskan seperti musim-musim perayaan lain, pihak KPDNHEP menjalankan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMPP) bagi mengawal kenaikan harga barang.
"Untuk Deepavali kali ini, seperti mana biasa, bila menjelang satu-satu perayaan memang ada SHMPP untuk kita kawal barang-barang tertentu yang terpilih di mana kalau kita tak kawal, ia akan naik mendadak.
"Perkara ini telah diputuskan oleh pihak jawatan kuasa supaya kita pantau dan buat kajian untuk Deepavali kali ini,” katanya.