POLIS Johor akan meningkatkan kawalan keselamatan di dalam dan luar Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri di sini sempena perlawanan Liga Super antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan Sabah FC, pada Sabtu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kekuatan pegawai dan anggota turut akan ditambah sempena Majlis Sambutan 'Triple Hattrick' JDT selepas kejayaan menjulang Piala Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut.
"Polis Johor memohon kerjasama daripada semua pengunjung mematuhi sepenuhnya garis panduan dan prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh polis dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
"Anggota trafik juga akan ditempatkan di sekitar kawasan stadium bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas. Pengunjung diingatkan agar tidak meletakkan kenderaan sehingga menghalang jalan khususnya apabila berlaku kecemasan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
"Orang ramai diingatkan mematuhi arahan diberikan oleh anggota polis dan petugas di dalam kawasan stadium (marshall) dari semasa ke semasa agar ketenteraman awam sentiasa terpelihara," katanya.
Pada Sabtu, JDT bakal menentang Sabah FC dalam perlawanan akhir Liga Super sebelum mengadakan sambutan atas kejayaan kelab itu yang mencatat sejarah tersendiri kerana berjaya merangkul kejuaraan Liga Super buat kali kesembilan, berturut-turut.
Sebelum itu, JDT dalam catatan di akaun Facebook rasmi Johor Southern Tigers mengumumkan penyanyi dan penulis lagu antarabangsa, Jason Derulo akan membuat persembahan pada sambutan meraikan kejuaraan kelab bola sepak JDT pada Sabtu.
Sambutan pada Sabtu itu juga akan menampilkan atlet Sukan Malaysia (Sukma) Johor, Pasukan Hoki Ais JDT, Johor Jewels (bola jaring), Johor Tigris (Sepak Takraw) dan pemain ragbi negeri.
Difahamkan tiket untuk perlawanan di stadium berkapasiti 40,000 itu telah pun habis dijual.